WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUSPEK TEMBAK KERETA KOMANDER AKPS DISYAKI GUNA SENJATA SEMI AUTOMATIK

25/02/2026 01:34 PM

BUKIT KAYU HITAM, 25 Feb (Bernama) -- Polis percaya suspek yang menembak kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir di sini awal pagi tadi, menggunakan senjata api jenis semi automatik.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya mengesahkan dua das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan mangsa yang sedang bergerak pada jarak kira-kira satu meter.

“Kita percaya suspek menggunakan senjata semi automatik kerana jumpa peluru telah pecah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian dipercayai melibatkan dua suspek menaiki sebuah motosikal berkuasa kecil dan berpakaian serba gelap serta bertopi keledar bertutup penuh manakala mangsa memandu bersendirian.

Beliau berkata polis telah melancarkan Ops Tutup termasuk di pintu masuk sempadan negara di Durian Burung, Padang Terap sejurus kejadian.

Adzli berkata kejadian itu sebagai cabaran dalam melaksanakan tugas kepada bukan sahaja AKPS, malah semua agensi penguatkuasaan.

“Saya menyeru semua (penguat kuasa) sentiasa waspada. Keselamatan menjadi keutamaan dalam menjalankan tugas,” katanya.

Terdahulu, kereta Proton X70 dipandu Mohd Nasaruddin ditembak pada 5.40 pagi tadi di susur masuk Masjid Muhajirin di sini, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand. 

Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat subuh dilaporkan terselamat dalam kejadian itu.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan