WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KANAK-KANAK BANTUT: JAWATANKUASA KHAS PARLIMEN SYOR KERAJAAN BERI SUBSIDI SUSU

25/02/2026 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen mencadangkan supaya subsidi produk susu diperkenalkan atau disasar semula bagi membantu mengurangkan masalah kekurangan nutrisi yang menyumbang kepada isu bantut dalam kalangan kanak-kanak.

Pengerusinya Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkata walaupun susu adalah antara sumber nutrien yang efektif dan mudah untuk memastikan pertumbuhan sihat kanak-kanak, bekalan dan harganya tidak diberi perhatian sewajarnya berbanding minyak masak dan gula yang menerima subsidi tahunan besar.

Beliau berkata jawatankuasa itu berpandangan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kesihatan (KKM) perlu membuat penyasaran semula subsidi supaya susu turut diberi keutamaan.

“Masalah bantut bukan sekadar isu ketinggian fizikal, malah ia memberi kesan mendalam terhadap struktur dan fungsi otak kanak-kanak.

“Kanak-kanak bantut mempunyai isi padu otak yang lebih kecil secara keseluruhan dengan bilangan neuron lebih rendah serta sambungan antara sel saraf yang lebih terhad, sekali gus menjejaskan fungsi kognitif seperti tahap IQ, kemahiran bahasa dan daya tumpuan,” katanya ketika membentangkan penyata jawatankuasa berkaitan isu kanak-kanak bantut di Dewan Rakyat hari ini.

Yeo berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun ialah 21.2 peratus, meningkat berbanding 17.7 peratus pada 2015, dengan Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang merekodkan peningkatan kadar bantut dalam tempoh 2000 hingga 2024.

Beliau berkata jawatankuasa turut mengesyorkan supaya mekanisme pemantauan wajib diperkenalkan bagi setiap kanak-kanak bawah lima tahun bagi memastikan pertumbuhan mereka dipantau secara sistematik dan intervensi diberikan segera.

Selain itu, skop intervensi pemakanan dan kesihatan kanak-kanak dicadang dilanjutkan daripada 1,000 hari pertama kehidupan kepada 2,000 hari, iaitu sehingga usia lima tahun.

“Jawatankuasa mendapati bahawa masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia menjadi lebih sukar dikesan selepas umur 18 bulan, iaitu selepas tamat jadual imunisasi rutin, sehingga mereka hadir ke tadika pada umur lima tahun,” katanya.

“Sehubungan itu, KKM juga disyorkan untuk mengubah protokol bagi mewajibkan konsultasi pemakanan untuk bayi berusia enam bulan, 12 bulan dan 18 bulan di klinik dan hospital kerajaan serta swasta,” katanya.

Pada masa sama, Yeo berkata jawatankuasa juga mencadangkan kempen kesedaran diperhebat bagi meningkatkan literasi pemakanan ibu bapa serta mempercepat pelaksanaan pelabelan hadapan pek (Nutri-Grade A-D) secara mandatori bagi produk makanan dan minuman.

Beliau berkata Malaysia wajar belajar daripada pengalaman Indonesia yang berjaya menurunkan kadar bantut sebanyak 11 peratus dalam masa enam tahun daripada 30.8 peratus pada 2018 kepada 19.8 peratus pada 2024.

Menurut Yeo, antara faktor kejayaan Indonesia adalah inisiatif menangani bantut yang digerakkan oleh mandat undang-undang di peringkat tertinggi melalui Peraturan Presiden Nombor 72 Tahun 2021 mengenai percepatan penurunan kadar bantut.

“Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa mengesyorkan Bahagian Hal Ehwal Undang- undang (BHEUU) bersama KKM mengkaji keperluan dan bagaimana kita juga boleh mewujudkan mandat undang-undang dalam mengatasi masalah bantut,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan