WILAYAH - TENGAH > BERITA

TEAMSTAR RANCANG BUKA 10 OUTLET BAHARU MENJELANG 2028

25/02/2026 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Syarikat baharu disenaraikan, Teamstar Bhd, menyasarkan pembukaan 10 outlet tambahan di Malaysia menjelang 2028, sekali gus meningkatkan jumlah cawangannya kepada 39 berbanding 29 ketika ini.

Ketua Pegawai Kewangan Tan Jian Wei berkata syarikat menyasarkan pembukaan tiga hingga empat outlet setahun bermula 2026, dengan tumpuan di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kedah.

“Pulau Pinang ialah pasaran baharu bagi kami kerana belum mempunyai kedai di negeri itu, walaupun telah memiliki gudang. Kami juga bercadang menaik taraf beberapa premis sedia ada dengan konsep bilik pameran yang menggabungkan fungsi pameran dan runcit, memaparkan model contoh produk, termasuk jenama pihak ketiga untuk kelengkapan dapur dan ruang kediaman,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

Peruncit dan pengedar kelengkapan perabot, perkakasan serta peralatan rumah itu membuat penampilan sulung di Pasaran ACE, Bursa Malaysia pada harga 26 sen sesaham, sama dengan harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan 16.70 juta saham diniagakan.

Pada 5.00 petang, kaunter ditutup pada 23.5 sen, susut 2.5 sen berbanding harga IPO, dengan sebanyak 80.21 juta saham bertukar tangan.

Sementara itu, Tan berkata syarikat turut merancang membuka sebuah stor mega di Puchong, Selangor, bagi menempatkan pelbagai produk di satu lokasi seluas kira-kira 279 hingga 372 meter persegi.

“Pelaksanaannya dijangka melebihi tiga tahun, tertakluk kepada maklum balas pasaran,” katanya.

Selain itu, dua lagi gudang dijangka dibuka sama ada tahun ini atau tahun hadapan.

Beliau berkata syarikat dijangka memanfaatkan peluang daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), khususnya dengan perkembangan pesat di Johor serta aktiviti hartanah dan pengubahsuaian di Johor Bahru.

Tan berkata syarikat kekal selesa dengan tahap penggunaan hutang semasanya, dengan nisbah penggearan di bawah 0.3 kali, disokong oleh aliran tunai yang kukuh

Berdasarkan laporan penyelidikan pasaran bebas (IMR), nilai industri penambahbaikan kediaman di Malaysia melebihi RM45 bilion setakat Januari 2025.

Bagaimanapun, angka itu merangkumi bahan binaan utama seperti simen, aluminium dan profil keluli, manakala fokus Teamstar tertumpu kepada kelengkapan dalaman, aksesori perabot dan perkakasan am.

“Ketika ini, Teamstar menguasai kira-kira 0.3 peratus bahagian pasaran. Industri dijangka berkembang pada kadar tahunan 4.4 peratus dan melepasi RM50 bilion menjelang 2029,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan