WILAYAH - UTARA > BERITA

RUMAH MUSNAH DIPUKUL RIBUT, ENAM AHLI KELUARGA TERPAKSA BERLINDUNG DALAM KERETA

26/02/2026 12:16 AM

Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

TAIPING, 25 Feb (Bernama) -- Enam sekeluarga di Taman Damai, di sini, berdepan detik cemas selain terpaksa menyelamatkan diri dan berlindung di dalam kereta selepas sebahagian struktur rumah mereka musnah dipukul ribut, dalam kejadian petang semalam.

Hisharuddin Mat Isa, 51, berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4 petang itu menyebabkan sebahagian bumbung rumah tercabut selain siling pada bahagian ruang tamu, bilik tidur dan dapur runtuh dalam sekelip mata.

“Saya bersama dengan ibu, isteri, anak perempuan serta dua anak saudara sedang berehat di dalam rumah semasa kejadian berlaku. Ketika itu hujan lebat, dan tiba-tiba saya terdengar bunyi angin bertiup sangat kuat yang datang menghentam rumah kami.

“Dalam sekelip mata, bumbung rumah tercabut dan beberapa siling runtuh. Kami semua panik, jadi saya segera memanggil ahli keluarga untuk keluar dan menyelamatkan diri dengan berlindung di dalam kereta yang diletakkan di luar rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Damai di sini, hari ini.

Pengawal keselamatan itu berkata buat masa ini, mereka sekeluarga terpaksa berlindung di pusat penempatan sementara (PPS) yang disediakan di Dewan Serbaguna Taman Kaya.

Sebanyak 22 keluarga dari Taman Damai, Taman Ria, Taman Kaya, Taman Desa Cemerlang dan Batu 2 ½ terpaksa dipindahkan sementara di PPS berkenaan berikutan kediaman mereka rosak dalam kejadian ribut dan pokok tumbang petang semalam.

Selain bumbung diterbangkan angin kencang dan bumbung premis perniagaan runtuh, kejadian itu turut menyebabkan rumah ditimpa pokok serta kerosakan pada khemah bazar Ramadan.

Hisharuddin berkata kejadian yang menimpa keluarganya merupakan satu ujian ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa, justeru dia berharap ada pihak yang sudi membantu kerana kos untuk membaiki rumah yang terjejas itu agak tinggi.

Sementara itu, juruelektrik Ten Teik Ming, 55, berkata kejadian ribut itu kali pertama berlaku dan merosakkan sengkuap rumahnya di Taman Ria.

"Isteri menelefon saya memberitahu tentang kejadian itu dan kerosakan yang berlaku, saya terus pulang ke rumah dan mendapati sengkuap telah terangkat dan tiangnya menimpa bumbung rumah jiran bersebelahan," katanya.

Muhammad Qhushairi Mat Desa, 42, pula berkata hampir 90 peratus bumbung di bahagian dapur rumahnya di Taman Ria rosak akibat bencana berkenaan.

“Kami terpaksa menampung sendiri kos awal untuk menutup bahagian dapur supaya air hujan tidak masuk yang akan menyebabkan alatan atau kemudahan lain di bahagian dapur itu rosak,” katanya sambil menambah penduduk perlu sentiasa bersedia dan mengambil langkah keselamatan awal susulan cuaca ekstrem.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan