WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEDUTAAN MALAYSIA DI DOHA SARAN RAKYAT MALAYSIA KEKAL PEKA PERKEMBANGAN SEMASA

28/02/2026 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Rentetan perkembangan terkini di rantau Timur Tengah, Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar menyarankan rakyat Malaysia yang berada di Qatar untuk terus peka mengikuti perkembangan semasa.

Kedutaan dalam satu kenyataan pada Sabtu menyeru rakyat Malaysia di Qatar untuk mendapatkan maklumat hanya daripada sumber-sumber sahih, termasuk pengumuman rasmi pihak berkuasa Qatar dan Kedutaan Besar Malaysia.

“Elakkan penyebaran maklumat yang tidak disahkan,” menurut kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Kedutaan itu.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, kedutaan itu memaklumkan pihak berkuasa Qatar telah mengeluarkan notis memaklumkan bahawa keadaan di Qatar adalah tenang dan terkawal.

Bagaimanapun menurut kedutaan, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk terus memantau perkembangan semasa dari sumber-sumber sahih, mengikuti arahan lanjut yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar, jika ada dan mengelakkan dari berada berhampiran dengan kem atau kawasan tentera.

Pihak berkuasa Qatar juga telah mengeluarkan notis memaklumkan supaya semua berada dalam bangunan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Sehubungan dengan itu, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk tidak berada di luar, mengambil langkah berjaga-jaga dan terus mengikut perkembangan semasa.

“Buat masa ini, sebahagian ruang udara Qatar telah ditutup. Oleh itu, semak jadual terkini dan rancang perjalanan anda dengan teliti,” katanya.

Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia melalui talian +974 3374 6733 (kecemasan sahaja) atau melalui e-mel mwdoha@kln.gov.my.

“Rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar dengan Kedutaan, pendaftaran boleh dibuat melalui sistem e-Konsular di pautan berikut: https://ekonsular.kin.gov.my,” katanya.

Terdahulu, Anadolu Ajansi melaporkan bahawa menteri pertahanan Israel berkata Tel Aviv telah melancarkan serangan ke atas Iran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan