WILAYAH - SELATAN > BERITA

PROJEK RTB MELAKA MELEPASI 50 PERATUS, IMPAK AWAL MULA DILIHAT DI LOKASI PANAS BANJIR

03/03/2026 03:22 PM

Oleh Shanika Abdullatib

MELAKA 3 Mac (Bernama) -- Impak pelaksanaan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Melaka mula menampakkan hasil apabila beberapa kawasan yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi banjir berulang kini merekodkan pengurangan ketara insiden air naik meskipun berdepan hujan lebat berpanjangan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata projek RTB yang kini melepasi 50 peratus kemajuan fizikal itu menunjukkan impak awal hasil pendekatan bersepadu merangkumi pembangunan infrastruktur dan pengurusan lapangan secara sistematik.

Beliau berkata projek bernilai lebih RM1 bilion itu adalah penyelesaian jangka panjang yang memerlukan masa serta pelaburan besar, namun perkembangan semasa memberi petunjuk positif bahawa strategi menyeluruh yang dilaksanakan mampu mengurangkan kekerapan dan tempoh banjir di negeri berkenaan.

“Pengurangan kejadian banjir, terutama di lokasi panas tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut pembinaan RTB. Ia perlu dinilai secara menyeluruh termasuk usaha berterusan penyelenggaraan sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Apabila kita lihat kawasan yang makin kurang banjir, ia bukan hanya kerana RTB semata-mata. Kerja pembersihan sungai oleh JPS yang dilaksanakan mengikut jadual dan lebih awal sebelum musim hujan turut memainkan peranan penting,” katanya kepada Bernama.

Dalam konteks pengurusan risiko, Rais berkata Melaka ketika ini memantau lebih 100 lokasi panas banjir secara berterusan bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum hujan lebat berlaku, sekali gus mengurangkan risiko limpahan mendadak.

Beliau berkata kolaborasi erat antara agensi teknikal dan wakil rakyat di kawasan terjejas seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dan Merlimau mempercepatkan respons di peringkat akar umbi.

“Wakil rakyat yang memahami corak dan waktu banjir di kawasan masing-masing akan memaklumkan lebih awal kepada JPS. Tindakan boleh dibuat sebelum berlaku limpahan dan ini antara faktor penting yang menyumbang kepada pengurangan insiden,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata pelaksanaan RTB Sungai Duyong pada 2021 membawa sinar baharu kepada penduduk di Taman Seri Duyong, Jambatan Duyong dan Perigi Hang Tuah.

Beliau berkata walaupun projek itu berdepan kelewatan akibat faktor teknikal, impak awalnya kini semakin dirasai penduduk apabila kejadian banjir yang sebelum ini menjejaskan lebih 1,000 rumah pada musim puncak serta sekitar 400 rumah pada luar musim puncak berjaya dikurangkan dengan ketara, khususnya pada 2025.

“Bagi saya, ini satu kejayaan walaupun masih dalam fasa pelaksanaan. Selepas kontraktor mendapat lanjutan masa yang dibenarkan oleh JPS, projek kini berjalan lancar dan kerjasama semua pihak amat baik.

“Lebih menggembirakan apabila JPS turut memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron berkata keberkesanan RTB Sungai Putat turut dapat dilihat apabila kawasan sekitar yang sebelum ini menjadi lokasi panas banjir kini tidak lagi berdepan masalah berkenaan walaupun projek masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan kerja pembersihan serta naik taraf longkang dan infrastruktur berkaitan di kawasan panas, terutama di DUN Ayer Keroh dan Kesidang.

“Hasilnya, banyak kawasan di bawah pentadbiran MPHTJ seperti Malim, Durian Tunggal, Pengkalan Batu dan Bukit Katil tidak lagi mengalami banjir seperti sebelum ini. 

“Secara keseluruhan, pelaksanaan RTB di Melaka bukan sahaja memperlihatkan impak awal yang meyakinkan, malah memperkukuh kerangka pengurusan risiko banjir melalui pendekatan bersepadu melibatkan pembangunan fizikal, penyelenggaraan berkala serta kerjasama erat antara agensi dan wakil rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan