KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi mahu perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng yang kini di peringkat pendakwaan diselesaikan selewat-lewatnya Jun ini.
Azura berkata demikian selepas saksi pendakwaan ke-37 iaitu ahli perniagaan, Datuk Seri G.Gnanaraja, 44, memohon kepada mahkamah agar prosiding perbicaraan kes itu ditangguhkan kerana beliau demam serta batuk, setelah dua jam lebih disoal balas peguam hari ini.
"Kes ini sudah lama dan berlarutan, jadi saya kena kawal (prosiding) kes ini. Saya punya sasaran nak habiskan kes pendakwaan selewat-lewatnya Jun ini..untuk hari ini saya benarkan tangguh. Saya nak saksi bawa MC (surat cuti sakit) pada tarikh perbicaraan akan datang. Perbicaraan bersambung 20 dan 21 April ini," kata Azura.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian berkata pihaknya juga mahu kes itu diselesaikan secepat mungkin.
"Tinggal saksi ini (Gnanaraja) dan seorang lagi saksi iaitu pegawai penyiasat akan disoal balas peguam. Sebenarnya puan, kami pun nak kes ini cepat habis dan kami telah buat hujahan bertulis, cuma mahu tambah sedikit sahaja," kata Wan Shaharuddin.
Terdahulu, semasa sesi soal balas, Gnanaraja memberitahu mahkamah bahawa beliau demam serta batuk selain mempersoalkan tindakan peguam Lim, Tiara Katrina Fuad membangkitkan soalan yang sama.
"Saya tidak sihat, saya ada batuk dan demam yang teruk, saya ingatkan Puan Tiara nak tanya soalan baru tetapi beliau tanya soalan sama...saya sudah jelaskan semuanya semasa disoal peguam Ramkarpal Singh," katanya.
Ramkarpal bangun dan berkata: “Saya fikir sudah tiba masanya mahkamah mengawal prosiding ini, bukannya saksi. Jika rakan sejawat saya tidak berbuat apa-apa terhadap saksi beliau sendiri, saya rasa adalah lebih wajar mahkamah memaklumkannya tentang perkara itu dan maksudnya. Saya amat menghargainya".
Azura kemudian berkata peguam mempunyai hak untuk soal balas saksi berkenaan dan soalan yang dikemukakan peguam itu tidak berulang kerana ia membabitkan rakaman percakapan berbeza.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial