WILAYAH - TENGAH > BERITA

KESEDIAAN BEKALAN, KESTABILAN HARGA BARANGAN MESTI TERJAMIN SEPANJANG RAMADAN, SYAWAL - PM

03/03/2026 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ketersediaan bekalan serta kestabilan harga barang wajib terjamin di seluruh negara tanpa sebarang alasan sepanjang tempoh Ramadan dan menjelang Syawal.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata perkara itu ditegaskan Anwar bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup berlebihan memandangkan Ramadan dan menjelang Syawal merupakan tempoh permintaan barangan keperluan harian meningkat secara ketara.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Perdana Menteri menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan pemantauan berterusan diperhebat menerusi Ops Pantau 2026.

“Perdana Menteri turut mahu pemantauan harga makanan di bazar Ramadan di seluruh negara diselia dengan lebih rapi agar kekal munasabah dan berpatutan.

“Beliau (Perdana Menteri) turut menitikberatkan agar premis perniagaan menepati piawaian kebersihan dengan sokongan kemudahan yang baik oleh setiap pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Selain itu, Tunku Nashrul berkata Program Jualan Rahmah MADANI juga diteruskan sepanjang Ramadan ini bagi memberikan akses kepada barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah kepada rakyat.

“Kerajaan MADANI komited untuk memastikan Ramadan dan Syawal tahun ini menjadi perayaan yang penuh makna bagi semua rakyat Malaysia, tanpa bebanan kos sara hidup yang berlebihan,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan