WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TINJAUAN CNN DAPATI 59 PERATUS WARGA AS TIDAK SETUJU SERANG IRAN

03/03/2026 07:05 PM

WASHINGTON, 3 Mac (Xinhua) -- Tinjauan CNN yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan 59 peratus warga Amerika Syarikat (AS) tidak bersetuju dengan keputusan negara itu mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran, lapor Xinhua.

Tinjauan, yang dikendalikan oleh SSRS, dijalankan sejurus selepas tentera AS dan Israel melancarkan serangan.

Sebanyak 60 peratus daripada responden berkata mereka tidak fikir Presiden AS Donald Trump mempunyai rancangan yang jelas untuk mengendalikan situasi itu, dan 62 peratus berkata beliau perlu mendapatkan kelulusan Kongres bagi sebarang tindakan ketenteraan selanjutnya.

Kira-kira 39 peratus berkata AS tidak berusaha sepenuhnya dalam diplomasi sebelum menggunakan kekuatan ketenteraan, manakala hanya 27 peratus merasakan bahawa AS melakukan usaha yang cukup dalam diplomasi, dan 33 peratus tidak pasti.

Sekitar 56 peratus pula berkata mereka melihat konflik ketenteraan jangka panjang antara AS dan Iran sebagai berkemungkinan besar (berlanjutan).

Survei terbaharu itu dikeluarkan sehari selepas tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan bahawa 43 peratus rakyat AS menentang serangan ke atas Iran.

Kedua-dua tinjauan dikeluarkan kerana Ahli Kongres Demokrat dan Republikan sangat berbelah bahagi mengenai serangan ke atas Iran.

Republikan jauh lebih berkemungkinan daripada Demokrat untuk meluluskan tindakan ketenteraan, kerana hanya 18 peratus Demokrat dan 32 peratus Ahli Kongres Bebas meluluskan tindakan itu, berbanding 77 peratus Republikan, menurut tinjauan CNN.

Ahli Kongres Demokrat menyelar tindakan itu kerana tiada ancaman dan serangan itu tidak mendapat persetujuan Kongres. Mereka juga memberi amaran bahawa Trump berpotensi mengheret AS dalam satu lagi konflik Timur Tengah yang berlarutan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan