WILAYAH - UTARA > BERITA

DUA MAUT DALAM DUA KEMALANGAN BERASINGAN DI AYER TAWAR DAN LENGGONG

04/03/2026 10:12 AM

IPOH, 4 Mac (Bernama) -- Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di Ayer Tawar dan Lenggong pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam kejadian pertama di laluan pekan Ayer Tawar ke pekan Bota, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.05 pagi.

Beliau berkata kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas dan terbalik berhampiran persimpangan lampu isyarat.

“Sebuah jentera bersama pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian dan mendapati seorang lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu manakala seorang lagi mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

“Kedua-dua mangsa adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an. Pemandu yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian manakala mangsa yang tercampak keluar mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, dalam kejadian di jalan sebelum Padang Grus, Lenggong, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.47 pagi melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dan sebuah SUV Toyota Unser.

“Setibanya jentera dari BBP Lenggong pada 6.01 pagi, didapati dua mangsa yang menaiki Toyota Unser tersepit dan tidak sedarkan diri manakala pemandu Nissan Navara tiada di lokasi kejadian.

“Pemandu Toyota Unser, lelaki tempatan berusia 40 tahun mengalami kecederaan patah bahu manakala penumpang kenderaan itu, lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata operasi penyelamatan dijalankan menggunakan peralatan rescue tools dan stretcher bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.02 pagi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan