WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JUWAI IQI JANGKA BNM KEKALKAN OPR PADA 2.75 PERATUS

04/03/2026 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, memilih kestabilan berdasarkan ekonomi Malaysia yang terus mencatatkan prestasi kukuh.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata kadar faedah yang stabil akan membantu mengekalkan keyakinan terhadap pasaran hartanah.

“Malaysia berada pada kedudukan yang amat kukuh. Pertumbuhan dijangka pada 4.5 peratus tahun ini manakala inflasi kekal rendah, memberi ruang kepada penggubal dasar untuk tidak tergesa-gesa membuat perubahan walaupun berdepan ketidaktentuan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kashif berkata urus niaga yang stabil berterusan di Greater Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, dengan pemaju tidak membina secara berlebihan dan tiada petunjuk lebihan penawaran serta pasaran berada dalam keadaan terkawal.

Beliau juga berkata kadar kelulusan pinjaman kekal baik manakala pertumbuhan hutang isi rumah perlahan berbanding awal tahun 2020-an.

“BNM dijangka memberi tumpuan kepada inflasi domestik dan petunjuk pertumbuhan pada minggu ini berbanding peristiwa global.

“Berdasarkan keadaan tarif yang tidak menentu dan ketidaktentuan luaran lain, saya percaya bank pusat akan memberi keutamaan kepada mengekalkan kestabilan kadar faedah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan