WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPS MIDDLEMAN: SPRM BEKU AKAUN, SITA RM7.7 JUTA

04/03/2026 02:42 PM

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan pembekuan akaun dan sitaan berjumlah RM7.7 juta menerusi Ops Middleman, yang menyasarkan kegiatan orang tengah atau tonto, dipercayai terlibat dalam rasuah melibatkan penguat kuasa jalan raya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata jumlah itu merangkumi wang tunai, kenderaan mewah, barang kemas serta pembekuan puluhan akaun individu dan syarikat yang dikenal pasti hasil risikan selama tiga bulan.

Secara keseluruhan, beliau berkata nilai pembekuan dan sitaan adalah RM7.69 juta melibatkan wang tunai pelbagai mata wang, 25 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM2.5 juta, barang kemas kira-kira RM40,000, 27 telefon bimbit dan 41 unit walkie-talkie yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.

“SPRM turut membekukan 59 akaun individu dan syarikat berjumlah RM4.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket ini.

“Siasatan juga mengesan transaksi rasuah berjumlah RM12.48 juta dipercayai dibayar antara 2021 hingga 2025, dan usaha sedang dijalankan bagi menjejaki aliran wang berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata operasi yang bermula 24 Feb lepas itu, dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan menyasarkan sindiket yang bertindak sebagai perantara bagi menawarkan serta menyalurkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa.

Memperincikan kes itu, Azam berkata 18 individu ditahan bagi membantu siasatan, termasuk empat pegawai JPJ, empat anggota polis trafik, dua pemilik syarikat, tujuh tonto serta seorang individu awam yang dipercayai bertindak sebagai pemilik akaun keldai.

Beliau berkata siasatan terhadap tonto dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala pegawai penguat kuasa disiasat di bawah Seksyen 17(a) akta sama kerana dipercayai menerima suapan.

Azam berkata modus operandi sindiket ialah menawarkan rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi kegiatan lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan berlebihan.

Beliau berkata SPRM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti akaun digital dan kemungkinan penglibatan pihak lain, selain tidak menolak operasi sama diperluas ke negeri lain.

“Kita mahu putuskan rantaian ini. Selagi ada orang tengah yang memudahkan bayaran rasuah, jenayah ini akan berterusan dan akhirnya menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pendedahan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa wujud kebocoran maklumat dalaman JPJ yang dipercayai membolehkan sindiket tonto mengetahui operasi penguatkuasaan lebih awal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan