KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kira-kira 10,000 peserta daripada lebih 30 negara dijangka menyertai International Positive Energy Half Marathon & Sports Wellness Carnival 2026, yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung berkata acara maraton itu akan mengetengahkan potensi Malaysia sebagai destinasi untuk pelancongan sukan dan kesihatan.
“Penganjur menyasarkan kira-kira 10,000 peserta, dengan sekitar 30 peratus dijangka merupakan pelari antarabangsa. Ini bermakna lebih kurang 3,000 pelancong asing akan datang ke Malaysia semata-mata untuk acara ini, sekali gus menyumbang kepada momentum Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Acara seumpama ini menghimpunkan peserta antarabangsa, komuniti tempatan dan agensi kerajaan untuk meraikan kesejahteraan hidup, gaya hidup aktif dan tenaga positif,” katanya dalam ucapan selepas majlis pelancaran rasmi acara berkenaan di sini, hari ini.
Lee menjelaskan bahawa acara itu mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam mempromosi sukan, kecergasan dan kesihatan serta pelancongan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KL Wellness City Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata inisiatif itu mencerminkan misi yang lebih luas untuk mempromosikan nilai tenaga positif, kesejahteraan hidup dan perpaduan sosial.
“Pelancaran ini bukan sekadar mengenai maraton semata-mata. Ia melambangkan matlamat kami untuk mempromosikan nilai tenaga positif, kesejahteraan, peningkatan moral dan perpaduan sosial, sambil menghubungkan sektor swasta, industri dan kerajaan untuk mewujudkan pengalaman yang benar-benar menyeluruh dan bertenaga untuk semua peserta,” katanya.
Acara maraton itu, yang dianjurkan oleh KT Cyclone Sdn Bhd dan KL Wellness City, bersama-sama beberapa rakan kongsi, termasuk Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), akan diadakan pada pagi 17 Mei dan menampilkan tiga kategori larian; separuh maraton 21km, larian 10km dan larian santai 5km.
Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir pada acara maraton itu ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Karnival tiga hari itu juga akan menyaksikan lebih 300 gerai pameran berkaitan kesihatan dan sukan, bengkel interaktif, pameran keselamatan awam, program kesedaran keselamatan digital dan keselamatan siber, serta aktiviti Relay for Life termasuk acara larian obor, dan sambutan untuk pesakit kanser yang telah sembuh.
Pengunjung juga boleh membeli di bazar yang menampilkan lebih 200 penjual minuman dan makanan halal serta bukan halal, di samping RichestLife Positive Energy Zone, yang menawarkan aktiviti motivasi, program pengukuhan hubungan kekeluargaan dan pendidikan kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial