PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia di Timur Tengah ,yang sedang bergolak susulan perang Iran dengan Israel-Amerika Syarikat (AS), menjadi keutamaan kerajaan ketika ini, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata Kementerian Luar akan mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan yang akan diambil susulan perkembangan situasi di Iran dari semasa ke semasa.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Wisma Putra dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, termasuk beberapa maklumat dan maklum balas terkini berkaitan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Timur Tengah.
“Yang menjadi keutamaan untuk pihak kerajaan pada waktu ini adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terjamin sama ada mereka yang mungkin terkandas akibat ketiadaan penerbangan pulang ataupun yang bermastautin di negara-negara yang terkesan dengan apa yang sedang berlaku di Iran akibat serangan daripada rejim Zionis Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini.
Pada awal pagi 28 Feb lepas, Israel dan AS melancarkan serangan udara terhadap sasaran di Iran.
Tehran kemudian bertindak balas menyasarkan pangkalan tentera dan kemudahan logistik AS di beberapa negara Arab, menyebabkan sekatan ruang udara meluas di seluruh rantau itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial