JOHOR BAHRU, 4 Mac (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan hari ini dihukum penjara 21 tahun dan dikenakan 24 sebatan selepas mengaku bersalah atas 13 pertuduhan melakukan pelbagai kesalahan seksual terhadap anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Lelaki berusia 43 tahun itu, yang dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini, turut diperintah menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Hakim Madihah Zainol dan Hakim Nor Aziati Jaafar membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh serta meneliti fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan.
Madihah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 18 Feb lepas dan memerintahkan dia disebat 14 kali manakala di hadapan Nor Aziati, lelaki itu dihukum penjara 21 tahun dari tarikh tangkap dengan 10 sebatan.
Bagaimanapun, tertuduh yang didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah setinggan di Kampung Kempas Baru di sini antara 11.35 malam 22 Jan dan pagi 17 Feb lepas, diarah menjalani hukuman secara serentak.
Dia berdepan empat pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta sebatan dan empat pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal mengikut Seksyen 15(c) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM10,000.
Lelaki itu juga didakwa atas dua pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video terhadap mangsa mengikut Seksyen 5 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan enam sebatan.
Selain itu, dia berdepan dua pertuduhan meliwat mangsa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun maksimum 30 tahun dan sebatan, serta satu pertuduhan merogol kanak-kanak berkenaan mengikut Seksyen 376(3) kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Manushri dan Nur Farah Wahida Shahudin manakala pengawal keselamatan itu tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh memohon hukuman diringankan atas alasan perlu menanggung enam anak serta seorang isteri yang tidak bekerja dan menghidap kanser namun pendakwaan memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan selain kesan berpanjangan terhadap kehidupan mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial