PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya usaha meningkatkan kesedaran rakyat mengenai peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dan kepentingan bertindak pantas sekiranya menjadi mangsa dilaksanakan secara berterusan, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata perkara itu dibangkitkan Anwar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan lawatan beliau semalam ke NSRC di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya.
Menteri Komunikasi itu berkata ketika meneliti sistem yang digunakan NSRC untuk menjejak aliran wang keluar daripada akaun mangsa penipuan atau scam melalui pelbagai lapisan akaun keldai, Perdana Menteri mahu usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai fungsi pusat berkenaan diperhebat.
“Terdapat juga beberapa perkara yang perlu disusuli untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai NSRC; pertama, pusat itu sendiri dan bagaimana kita boleh memastikan sekiranya kita menjadi mangsa maka tindakan pantas boleh diambil untuk menyelamatkan duit yang telah dicuri,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut berkongsi dua contoh kes berkaitan penipuan yang menunjukkan kepentingan membuat laporan dengan segera kepada NSRC.
Berkongsi kes pertama, Fahmi berkata terdapat seorang individu yang dilaporkan kehilangan lebih RM800,000 daripada jumlah simpanan RM1 juta selepas wang itu dipindahkan secara berperingkat melalui akaun keldai namun laporan kepada NSRC hanya dibuat kira-kira lapan jam kemudian.
“Laporan hanya dibuat sekitar 10 malam sedangkan kehilangan itu bermula sekitar 2 petang, menyebabkan pihak NSRC hanya berjaya menyelamatkan kira-kira RM170,000 daripada jumlah yang dicuri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata dalam satu lagi kes, hampir keseluruhan wang mangsa berjaya diselamatkan apabila mangsa menghubungi NSRC dengan segera sebaik sahaja menyedari berlaku transaksi mencurigakan.
Fahmi juga berharap pihak media dapat membantu menyebarluaskan kewujudan NSRC kepada orang ramai supaya mangsa scam dapat bertindak pantas dengan menghubungi talian 997.
Beliau berkata selepas penstrukturan semula operasi NSRC, mangsa tidak lagi perlu membuat laporan polis secara berasingan kerana pegawai dan anggota polis yang ditempatkan di pusat itu bersedia menerima panggilan serta membantu proses pelaporan.
Fahmi berkata NSRC turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk wakil bank komersial serta syarikat telekomunikasi bagi memastikan tindakan pembekuan akaun dan pengesanan aliran wang dapat dilaksana dengan segera.
“Ini sudah pasti merupakan satu usaha yang akan dapat menyelamatkan lebih banyak duit rakyat, insya-Allah,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri berkata aspek kesedaran awam merupakan benteng utama dalam usaha membanteras penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
NSRC, yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras jenayah siber melalui pengukuhan operasi pusat berkenaan yang kini berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons kebangsaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial