WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SENAT AS TOLAK USUL HADKAN KUASA PERANG TRUMP

05/03/2026 02:56 PM

WASHINGTON, 5 Mac (Bernama-Xinhua) -- Senat Amerika Syarikat (AS) pada Rabu gagal meluluskan resolusi kuasa perang yang bertujuan mengehadkan operasi ketenteraan Presiden Donald Trump terhadap Iran, dengan anggota Demokrat dan Republikan terus terbahagi dua berhubung isu berkenaan, lapor Xinhua.

Menerusi undian 53-47, dewan tinggi dikuasai Republikan itu menyekat resolusi berkenaan, yang bertujuan menghalang Trump daripada mengarahkan serangan ketenteraan lanjut ke atas Iran tanpa kelulusan Kongres.

Dalam ucapan sebelum pengundian dijalankan, sebahagian besar ahli Demokrat mengecam serangan ketenteraan terhadap Iran, manakala ahli Republikan pula mempertahankan tindakan presiden.

Senator veteran Demokrat, Tim Kaine, yang merupakan penaja bersama usul itu berkata, "pentadbiran dengan pelbagai alasan yang berubah-ubah, malah dalam taklimat terperingkat sekalipun, gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa AS berada di bawah ancaman serangan segera dari Iran."

"Tidakkah kita belajar apa-apa daripada peperangan selama 25 tahun di Timur Tengah? Seramai 14,000 tentera dan kontraktor Amerika terkorban di Iran dan Afghanistan... beratus-ratus ribu kematian orang awam... di Iran dan Afghanistan.

Lebih lapan trilion dibelanjakan yang sepatutnya boleh digunakan untuk penjagaan kesihatan, perumahan dan pendidikan rakyat Amerika, tetapi dihabiskan untuk perang di Afghanistan dan Iraq. Dan apa yang kita dapat daripadanya?" kata Kaine.

Senator Demokrat, Patty Murray, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Peruntukan Senat berkata: "Kita tidak seharusnya memperjudikan nyawa rakyat Amerika demi rancangan yang tidak lengkap, objektif yang tidak jelas dan masa depan yang tidak menentu."

Sementara itu, ahli Republikan berhujah bahawa tindakan Trump di Iran adalah perlu dan wajar, selain menuduh Demokrat membantah tindakan itu atas kepentingan partisan.

--BERNAMA-XINHUA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan