Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 5 Mac (Bernama) -- Thailand sedang berusaha mempelbagaikan import minyaknya dengan mendapatkan bekalan tambahan daripada negara rakan kongsi, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Afrika Selatan susulan ketegangan di Timur Tengah yang mengganggu laluan tenaga global.
Perdana Menteri sementara Thailand Anutin Charnvirakul berkata kerajaan telah segera mengadakan mesyuarat dengan agensi-agensi berkaitan bagi menilai situasi berkenaan.
Beliau berkata Thailand mengimport kira-kira separuh daripada minyaknya dari Timur Tengah manakala separuh lagi dari rantau lain.
“Kerajaan telah mengarahkan Kementerian Tenaga dan agensi berkaitan supaya menilai keadaan secara teliti serta mempertimbangkan sumber import alternatif bagi mempelbagaikan risiko tenaga.
“PTT Public Company Limited (PTT), syarikat minyak dan gas bersepadu milik kerajaan Thailand mengekalkan hubungan komersial dengan pelbagai pembekal global yang membolehkannya mendapatkan import minyak tambahan ketika krisis.
“Kerajaan mahu semua agensi mempertimbangkan langkah komprehensif secara teliti bagi meminimumkan impak terhadap Thailand serta mengekalkan kestabilan tenaga negara di tengah-tengah ketidakpastian semasa,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat dengan agensi tenaga berkaitan bagi membincangkan langkah-langkah tenaga pada Khamis.
Sementara itu, Anutin berkata kerajaan telah menggunakan Dana Bahan Api Minyak untuk membantu menstabilkan harga tenaga serta mengurangkan turun naik harga.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan terus memantau keadaan dengan teliti dan mungkin menggunakan dana itu lagi bagi mengurangkan kesan terhadap orang ramai sekiranya konflik berterusan.
Beliau turut berkata menteri tenaga telah memaklumkan kepadanya bahawa rizab minyak Thailand mencukupi untuk kira-kira 95 hari.
Awal minggu ini, media melaporkan Iran telah menutup Selat Hormuz, antara laluan perkapalan paling kritikal di dunia, susulan serangan udara bersama oleh AS dan Israel.
Media turut melaporkan bahawa syarikat perkapalan utama telah menggantung transit melalui Selat Hormuz selepas agensi maritim melaporkan serangan ke atas beberapa buah kapal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial