KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Lebih 1,350 anggota dan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disantuni menerusi inisiatif Mahabbah Wira Ramadan anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di tiga lokasi di Pantai Timur.
LTAT dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu melibatkan majlis iftar, pengagihan bubur lambuk serta sokongan kebajikan kepada Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Program digerakkan oleh pasukan sukarelawan Jalinan Wira LTAT bermula pada 2 Mac di 1 Rejimen Sempadan, Kem Batu 11, Tanah Merah, Kelantan sebelum diteruskan di Pangkalan Udara Gong Kedak, Jertih, Terengganu (3 Mac) dan berakhir di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang (4 Mac).
Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi dalam kenyataan sama berkata inisiatif itu bertujuan mengiktiraf pengorbanan wira negara yang kekal bertugas pada Ramadan dan Syawal.
“Mahabbah Wira Ramadan bukan sekadar acara tahunan. Dalam melaksanakan tugas, ramai anggota tentera darat, laut dan udara tidak berpeluang menyambut Ramadan dan Syawal seperti kebanyakan rakyat Malaysia.
“Ketika negara meraikan, mereka tetap setia di pos masing-masing. Sebab itu LTAT mendekati mereka, tanpa mengira jarak atau cabaran. Dedikasi mereka tiada batas dan pengorbanan mereka tunjang keamanan serta kedaulatan negara,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan di Tanah Merah, barisan kepimpinan LTAT turut melawat Pos Operasi Sempadan Renap bersama-sama Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Mohamad Nizam Abdul Manap bagi meninjau peranan anggota yang mengawal keselamatan sempadan utara daripada ancaman dan aktiviti menyalahi undang-undang.
“Lebih 400 anggota dan keluarga diraikan dalam suasana penuh muhibah melalui majlis iftar dan pengagihan bubur lambuk yang disediakan sukarelawan Jalinan Wira LTAT bersama-sama warga kem,” menurut kenyataan itu.
Program kemudiannya diteruskan ke Pangkalan Udara Gong Kedak yang menempatkan pesawat pejuang Su-30MKM “Toruk Makto” bagi menyantuni lebih 400 anggota serta krew teknikal yang memastikan kesiapsiagaan aset pertahanan udara negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Di lokasi terakhir di Kuantan, kira-kira 550 warga TLDM berkumpul di Dewan Al-Haimi dan kepimpinan LTAT menyerahkan bubur lambuk secara simbolik kepada Pegawai Pemerintah KD Perkasa sebagai tanda penghargaan kepada warga laut yang mempertahankan perairan negara.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kebajikan menyeluruh, Yayasan LTAT menyalurkan sumbangan berjumlah RM20,400 kepada 68 keluarga ATM di tiga lokasi itu melibatkan kategori asnaf, pesakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, LTAT melaksanakan Program Taklimat Pencarum dan Celik Kewangan di setiap lokasi bagi memberi pendedahan mengenai pengurusan kewangan berhemah, perlindungan sosial dan persediaan persaraan.
“Sejak diperkenalkan pada Disember 2023, program ini telah menjangkau lebih 55,000 anggota ATM, selaras dengan Pelan Hala Tuju LTAT 2026–2030 (GEMPUR30) dan aspirasi Ekonomi MADANI dalam memperkasakan kesejahteraan kewangan pencarum untuk jangka masa panjang,” katanya.
LTAT bersama-sama syarikat kumpulannya turut menyumbang sebanyak RM420,000 kepada ATM sebagai sumbangan tahunan Aidilfitri yang akan diserahkan secara rasmi dalam majlis berasingan dan disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Melalui Mahabbah Wira Ramadan 2026, LTAT menegaskan komitmen sebagai rakan strategik warga ATM bukan sekadar pengurus dana persaraan, tetapi institusi yang memahami, menghargai dan terus menyokong pengorbanan wira wirawati negara.
“Sehingga kini, pasukan sukarelawan Jalinan Wira LTAT telah merekodkan lebih 2,300 jam khidmat sukarela yang disumbangkan oleh lebih 200 sukarelawan dalam kalangan warga kerja LTAT,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial