WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIMA INDIVIDU DITAHAN TERLIBAT JUDI DALAM TALIAN SASAR PELANGGAN CHINA

07/03/2026 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Lima individu termasuk seorang wanita tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian ketika serbuan di dua premis di sekitar Bukit Jalil di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata serbuan kira-kira 1 tengah hari itu dijalankan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah premis pejabat di kawasan berkenaan dan menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.

“Penahanan itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah kondominium berhampiran.

“Dalam serbuan itu, empat warga China terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun yang sedang mengurus laman sesawang perjudian turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata siasatan mendapati kesemua suspek berperanan sebagai ejen yang mengurus, menganjur serta mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari China.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak dua bulan lepas dengan menyewa premis terbabit pada kadar RM2,000 sebulan sebagai tempat operasi.

Katanya pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga China yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas pelancong.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan lanjut. Kontinjen Kuala Lumpur melalui Bahagian D7 akan mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan perjudian haram di ibu negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan