MANAMA (Bahrain), 7 Mac (Bernama-BNA) -- Perintah Am Angkatan Pertahanan Bahrain mengumumkan sistem pertahanan udaranya, hasil kewaspadaan berterusan anggotanya, berjaya mengatasi gelombang berterusan serangan Iran, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).
Sejak bermulanya serangan, 86 peluru berpandu dan 148 dron yang menyasarkan Bahrain telah dipintas dan dimusnahkan.
Perintah Am memuji kesediaan tempur yang maju dan kecemerlangan operasi berterusan yang ditunjukkan oleh anggotanya dalam mempertahankan negara itu dan menegaskan bahawa prestasi mereka memberi jaminan kukuh bahawa ruang udara Bahrain kekal dilindungi, menurut laporan itu.
Perintah Am menggesa semua orang untuk berada di dalam rumah dan keluar hanya untuk keadaan yang sangat memerlukan, dengan berhati-hati pada setiap masa.
Orang ramai diarahkan untuk menjauhkan diri daripada lokasi terjejas dan sebarang objek yang mencurigakan, mengelak merakam operasi ketenteraan atau kawasan tempat serpihan jatuh, tidak mengedarkan maklumat yang tidak disahkan dan bergantung sepenuhnya pada sumber rasmi untuk perkembangan terkini dan panduan keselamatan.
Perintah Am selanjutnya menyatakan bahawa penggunaan peluru berpandu balistik dan kenderaan udara tanpa pemandu untuk menyasarkan infrastruktur awam dan harta persendirian merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang jelas dan serangan sewenang-wenangnya itu merupakan ancaman langsung kepada keamanan dan keselamatan serantau.
-- BERNAMA-BNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial