ALOR GAJAH, 8 Mac (Bernama) -- 'Free Market' Machap Jaya yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya terus menjadi antara program yang dinantikan penduduk setempat khususnya masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan pakaian terpakai.
Bakal ibu muda dari Kampung Orang Asli Bukit Besar, Pelangi Pinjam,18, berkata beliau yang pertama kali hadir ke program itu untuk memilih baju bayi teruja apabila pakaian terpakai yang terdapat di pasar tersebut bukan sahaja dalam keadaan baik serta masih cantik, namun terdapat juga baju bayi yang baharu dan belum dipakai.
"Rasa teruja dan gembira kerana saya dan suami belum beli baju untuk anak yang bakal lahir pada bulan Mei nanti kerana kekangan kewangan dan gaji suami sebagai penoreh getah agak kecil.
"Tetapi syukur kerana ada program baju percuma ini jadi boleh ambil berapa banyak yang hendak...rambang mata sebab banyak baju 'baby' yang cantik," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program tersebut yang berlangsung di Japerun Machap Jaya, di sini, hari ini.
Pelangi yang membawa pulang dua beg plastik pakaian bayi berkata dia dan suami, Yuzi Amrie Wang Long, 20, kini berasa lega kerana tidak lagi perlu memikirkan perbelanjaan membeli pakaian buat anak sulungnya itu.
Sementara itu, Seri Manis Asing, 32, dari Kampung Orang Asliachap Umboo berkata dia datang ke program 'Free Market' itu bersama tiga anaknya berusia enam hingga 14 tahun untuk memilih pakaian harian mereka yang kebanyakan telah lusuh.
Beliau berkata mereka sekeluarga menghabiskan masa lebih 30 minit untuk memilih pakaian yang sesuai dan gembira kerana selain mendapat pakaian terpakai, terdapat juga pakaian baharu yang sesuai dengan saiz anak-anaknya.
"Anak-anak gembira kerana banyak pilihan baju dan mereka dapat pilih sendiri seperti 't-shirt' serta seluar..syukur tidak perlu keluar duit untuk beli pakaian baharu kerana Hari Raya nanti banyak lagi keperluan lain perlu beli," katanya yang bekerja sebagai penoreh getah untuk menampung keluarganya.
Seorang penduduk dari Kampung Paya Datok, Maznah Isnin, 66, berkata walaupun terpaksa datang berkerusi roda ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya, pilihan itu tidak mengecewakan kerana dapat memilih pakaian terpakai yang cantik untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.
"Makcik dan anak-anak bukan orang senang, jadi bila dapat pakaian cantik percuma tidak kira baharu atau lama sudah cukup bersyukur kerana hendak beli pakaian baharu mahal dan tidak mampu," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata program tahunan itu menjadi medium untuk membantu penduduk setempat khususnya masyarakat Orang Asli mendapatkan pakaian terpakai dan baharu secara percuma sekali gus meringankan perbelanjaan mereka.
"Kos sara hidup kini semakin meningkat dan kebanyakan masyarakat Orang Asli tidak mempunyai pendapatan yang besar... kebanyakan mereka adalah penoreh getah dan program ini sangat besar maknanya buat mereka.
"Selain menganjurkan program ini setiap tahun menjelang sambutan Aidilfitri, kita juga rancang ia dilaksanakan pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Machap Jaya pada April ini dengan lebih banyak pakaian dan barangan lain untuk dipilih," katanya.
Pengerusi Program 'Free Market' Machap Jaya, Nurashiqin Alias, 42, berkata pakaian dan pelbagai lagi barangan seperti kasut yang diberikan secara percuma itu adalah sumbangan daripada pelbagai pihak hasil kerjasama Wanita Umno Machap Jaya, Pergerakan Puteri Umno Machap Jaya dan MILA University.
Beliau berkata kesemua barangan berkenaan dikumpulkan di Japerun Machap Jaya bermula 8 hingga 10 pagi tadi sebelum orang ramai diberi peluang memilih barangan itu bermula 11 pagi hingga 4 petang ini.
"Sambutan daripada penyumbang pakaian dan barang lain pada program tahun ketiga ini sangat menggalakkan.. pengunjung yang hadir juga lebih ramai berbanding tahun sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial