WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPS SHADOW: SINDIKET PECAH RUMAH DI P. PINANG TUMPAS, LAPAN DIDAKWA ESOK

09/03/2026 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pecah rumah yang dianggotai lapan lelaki tempatan dengan kerugian dianggar menghampiri RM1 juta menerusi Ops Shadow di Pulau Pinang, pertengahan bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata susulan operasi khas berkenaan, semua lapan suspek berusia 22 hingga 35 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, esok.

Katanya mereka akan dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

"Dalam operasi khas yang dijalankan pada 15 Feb lepas, sebanyak lima suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Tiga lagi suspek telah dikenal pasti dan ketika ini sedang menjalani tahanan di Penjara Jawi, Pulau Pinang dan Penjara Alor Setar, Kedah atas kesalahan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata sindiket yang diketuai seorang lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak awal 2024 hingga Okt 2025, dan terlibat dalam sekurang-kurangnya 42 kes di sekitar Pulau Pinang.

Beliau berkata modus operandi kumpulan penjenayah berulang itu adalah menyasarkan rumah di kawasan perumahan mewah berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan, selain kawasan perumahan biasa.

"Kumpulan ini akan menggeledah serta melarikan barangan berharga yang mudah dilupuskan seperti barang kemas, barangan elektronik dan wang tunai bagi mendapatkan faedah material secara bersama," katanya.

Beliau berkata semakan mendapati semua suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau termasuk rompak berkumpulan, pecah rumah, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, khianat serta positif dadah.

Kumar berkata penahanan ahli-ahli kumpulan itu sekali gus berjaya menyelesaikan 42 kes jenayah pecah rumah dan melumpuhkan sindiket berkenaan sepenuhnya.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan untuk menumpaskan sebarang bentuk kumpulan jenayah terancang melalui operasi bersepadu, risikan dan penguatkuasaan undang-undang, serta akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan