WILAYAH - UTARA > BERITA

LELAKI MAUT, ADIK PEREMPUAN HAMPIR PUTUS TANGAN DITETAK

10/03/2026 10:19 AM

SUNGAI PETANI, 10 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala tangan adik perempuannya hampir putus akibat ditetak dalam kejadian di Taman Kempas dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata mangsa berusia lewat 20-an dilaporkan mengalami tetakan berulang kali dan meninggal dunia di hadapan rumahnya.

"Kejadian dipercayai berlaku antara 12 tengah malam hingga 2 pagi tadi.

"Adik perempuan kepada mangsa turut dilaporkan mengalami kecederaan dan tangannya hampir putus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang perempuan bagi membantu siasatan.

"Motif serangan masih dalam siasatan namun dipercayai bukan disebabkan mabuk. Hubungan ketiga-tiga suspek juga sedang disiasat dan suspek lelaki dikatakan tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat manakala adiknya turut menerima rawatan di hospital sama," katanya.

Menurut Hanyan, terdapat beberapa senjata dipercayai digunakan suspek dijumpai di lokasi kejadian dan dirampas untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan