KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Man Wei Chong memburu peluang untuk sekurang-kurangnya menempatkan diri di podium pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 yang akan berlangsung di Ningbo, China pada 7 hingga 12 April ini.
Pemain berusia 26 tahun itu mengakui beliau dan gandingannya Tee Kai Wun agak terkilan kerana belum pernah menjejakkan kaki ke separuh akhir sejak kali pertama beraksi di kejohanan itu pada edisi 2022 di Muntinlupa, Filipina.
“Sebelum ini sudah beberapa kali kami tewas di pusingan kedua, jadi saya harap dapat pingat di sana (BAC 2026),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pencapaian terbaik pasangan keenam dunia itu pada kempen BAC ialah pada edisi 2022, menyaksikan pasangan negara mara ke suku akhir namun terpaksa akur kepada beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 16-21, 16-21.
Perjuangan mereka pada tiga edisi BAC berikutnya terhenti di pusingan kedua.
Wei Chong berharap tuah akan memihak kepada mereka pada BAC 2026 selepas empat kali tersingkir di suku akhir tahun ini, termasuk di All England baru-baru ini, apabila juara Masters Malaysia 2025 itu tewas kepada rakan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik 16-21, 22-20, 14-21, Jumaat lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial