WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BALU LEGENDA BOLA SEPAK SIFATKAN PENCEN PENAKAT HADIAH ISTIMEWA ARWAH SUAMI

10/03/2026 04:04 PM

KUALA NERUS, 10 Mac (Bernama) -- Balu kepada legenda bola sepak Terengganu Allahyarham Zulharisam Awang menyifatkan faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai hadiah istimewa suami buat dirinya.

Nik Noratiza Nik Abd Aziz, 47, berkata pemergian Zulharisam, 51, pada 5 Feb akibat kanser hati dan usus memberi kesan mendalam terhadapnya dan tiga anak.

Suri rumah sepenuh masa itu berkata perlu memikirkan cara untuk menambah pendapatan memandangkan anak masih bersekolah rendah dan menengah serta di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang.

“Arwah dahulu bertugas sebagai Pembantu Khidmat Am di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan ada sedikit pencen, tetapi tidak sangka arwah ada mencarum PERKESO.

“Alhamdulillah, Pencen Penakat ini dapat meringankan beban saya menanggung anak yang sedang belajar," katanya di rumahnya di Kampung Wakaf Baru, di Gong Badak dekat sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Terengganu Farihah Che Husin berkata Nik Noratiza layak menerima Pencen Penakat sebanyak RM764.58 sebulan bermula bulan ini.

Selain itu, PERKESO telah menyalurkan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 bagi urusan pengebumian.

“Tiga anak arwah berusia 12 hingga 19 tahun akan dibantu sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

“Kami harap bantuan ini meringankan beban keluarga, terutamanya di saat umat Islam bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Farihah berkata PERKESO Terengganu menyalurkan RM15.7 juta kepada pencarum dan waris di Terengganu yang melibatkan 2,965 kes pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan