KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Seramai 16 warga China yang bertindak sebagai ketua kumpulan atau ‘ring leader’ sebuah sindiket penipuan antarabangsa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siri operasi ‘Ops Dragon’ yang dijalankan antara Oktober hingga Disember tahun lepas.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata semua individu terbabit yang menyembunyikan diri di Malaysia merupakan suspek utama kegiatan berkenaan dan dikehendaki pihak berkuasa China.
“Kesemua suspek telah dihantar pulang bagi tujuan proses perbicaraan. Proses penghantaran itu dilakukan dengan kerjasama Kedutaan China serta Jabatan Imigresen Malaysia dan mematuhi semua prosedur perundangan serta diplomatik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata tangkapan itu adalah hasil operasi bersepadu bersama pihak berkuasa China yang menyasarkan rangkaian sindiket rentas sempadan dipercayai beroperasi di beberapa negara, termasuk Malaysia, dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa.
Menurutnya susulan penahanan itu, SPRM turut menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta, dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan serta diperoleh melalui aktiviti haram.
"Antara barangan yang disita termasuk dua unit kereta mewah, barang kemas, jongkong emas, komputer peribadi, komputer riba, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta ratusan unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan sebagai alat utama dalam kegiatan tersebut," katanya.
Beliau berkata proses pelucuthakan ke atas aset berkenaan kini sedang giat dijalankan selaras dengan peruntukan undang-undang sebelum ia diserahkan kepada Kerajaan Malaysia.
"Kejayaan operasi ini membuktikan komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi membanteras jenayah kewangan dan aktiviti penipuan rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan ekonomi serta kepentingan negara.
"SPRM menegaskan sebarang bentuk penyalahgunaan sistem kewangan, rasuah serta aktiviti penipuan akan terus dibanteras melalui tindakan penguatkuasaan dan kerjasama erat dengan rakan penguat kuasa di peringkat antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial