Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pelabur digesa mempelbagaikan portfolio dan mempertimbangkan peralihan kepada pelaburan berisiko rendah dan berkualiti tinggi semasa tempoh ketidaktentuan yang disebabkan oleh harga minyak yang tidak menentu, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Asia School of Business Prof Joseph Cherian.
Beliau berkata kepelbagaian kekal penting untuk pelabur semasa tempoh tidak menentu, sambil menekankan keuntungan daripada pelaburan berkaitan tenaga hasil kenaikan harga minyak berikutan peperangan di Asia Barat mungkin dapat mengimbangi kerugian dalam sektor barangan pengguna yang sensitif kepada kitaran ekonomi.
“Itulah sebabnya orang ramai perlu mempelbagaikan pelaburan kerana sektor tenaga akan mengimbangi kerugian dalam sektor kitaran. Daripada memegang dana ekuiti tulen, beli dana berkualiti tinggi yang memberikan dividen tinggi,” katanya kepada Bernama selepas program Bernama TV, The Nation yang dihoskan oleh Jessy Chahal hari ini.
Beliau berkata pendekatan sedemikian merupakan satu bentuk “pelaburan pintar”, di mana pelabur beralih sementara kepada syarikat lebih kukuh dan bermodal besar dengan pendapatan dan dividen yang stabil semasa keadaan pasaran tidak menentu.
Menurut Cherian, ketidaktentuan harga minyak global, yang kebelakangan ini mengalami turun naik melebihi paras US$100 setong, boleh mengganggu perancangan perniagaan, keputusan pelaburan dan prospek ekonomi di seluruh rantau ini.
Beliau berkata pergerakan harga minyak yang mendadak dan tidak dapat dijangka mewujudkan ketidaktentuan yang ketara kerana bahan api fosil kekal sebagai input penting dalam hampir setiap sektor ekonomi, daripada pengangkutan dan pembuatan sehinggalah kepada pengeluaran tenaga dan barangan pengguna.
Harga minyak mentah semalam melepasi paras US$100 setong susulan krisis bekalan yang semakin serius akibat perang di Asia Barat, tetapi minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) jatuh kepada US$81 setong selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan perang itu akan berakhir tidak lama lagi.
“Sebarang ketidaktentuan dalam harga komoditi, terutamanya bahan api fosil yang merupakan input penting dalam proses pengeluaran dan penggunaan, adalah tidak baik,” katanya.
Beliau berkata turun naik harga minyak menyukarkan perniagaan dan pengguna untuk merancang dengan yakin, memandangkan pergerakan harga yang tidak menentu boleh menyebabkan syarikat menangguhkan atau mempertimbangkan semula keputusan pelaburan utama akibat perubahan struktur kos yang pantas.
“Harga minyak mungkin di bawah US$100 hari ini dan melebihi US$100 esok. Ketidaktentuan sebegini menjejaskan proses perancangan kerana jika kos terlalu tinggi, operasi yang menguntungkan boleh menjadi tidak menguntungkan, justeru perniagaan terpaksa merancang dalam jangka pendek dan bukannya jangka panjang,” tambah beliau.
Bagaimanapun, Cherian berkata kesan ekonomi daripada kenaikan harga minyak berbeza dengan ketara bergantung sama ada sesebuah negara merupakan pengeluar bersih atau pengimport bersih minyak, ekonomi yang kaya dengan sumber berpotensi mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang lebih tinggi.
Malaysia sebagai pengeluar minyak bersih, berpotensi mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi melalui peningkatan hasil eksport dan pulangan ekonomi yang lebih kukuh berkaitan sektor tenaga.
Sebaliknya, beliau berkata ekonomi yang bergantung secara besar-besaran kepada minyak import lebih terdedah kepada kenaikan harga kerana kos tenaga yang lebih tinggi meningkatkan perbelanjaan pengeluaran dan kos sara hidup, sekali gus memberi tekanan lebih besar terhadap pertumbuhan ekonomi mereka.
Cherian berkata kesan ketidaktentuan harga minyak juga berbeza mengikut industri dan pasaran kewangan, bergantung sama ada sesebuah syarikat mendapat manfaat daripada harga tenaga yang lebih tinggi atau sangat bergantung kepada minyak sebagai input pengeluaran.
Syarikat dalam sektor berkaitan tenaga mungkin mencatat prestasi lebih baik semasa tempoh kenaikan harga minyak, manakala industri seperti pembuatan yang bergantung kepada bahan api untuk beroperasi berkemungkinan menghadapi peningkatan kos pengeluaran.
Bagi pengguna pula, mereka mungkin merasai kesan kenaikan harga minyak melalui tekanan inflasi dan perubahan dalam corak perbelanjaan.
“Apabila harga minyak meningkat, inflasi dan kos sara hidup turut meningkat manakala pertumbuhan ekonomi menurun,” katanya sambil menjelaskan isi rumah mungkin mengurangkan perbelanjaan tidak penting apabila kos hidup meningkat.
Beliau berkata sektor yang berkaitan dengan barangan dan perkhidmatan pengguna tidak penting mungkin terjejas teruk semasa tempoh kenaikan harga tenaga, kerana pengguna menangguhkan atau mengelak daripada membeli barangan bukan keperluan seperti peralatan mewah dan barangan lain yang bersifat pilihan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial