KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan ketika ini mengekalkan dasar fiskal sedia ada di samping memantau rapat perkembangan konflik geopolitik global yang berpotensi memberi kesan kepada harga minyak serta ekonomi negara.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dengan menilai tahap keseriusan dan tempoh semua konflik yang berlarutan sebelum mempertimbangkan sebarang langkah tambahan.
Beliau berkata kedudukan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan serta status negara sebagai pengeksport minyak bersih membantu mengukuhkan keyakinan terhadap kestabilan ekonomi.
“Kerajaan masih mengekalkan dasar sedia ada. Kita juga melihat tahap keseriusan konflik dan sejauh mana keadaan itu akan berterusan.
“Kita ada senario perancangan untuk melihat tindakan atau keputusan yang perlu dibuat sekiranya keadaan mencapai tahap tertentu,” katanya kepada pemberita, selepas ditemui di majlis pelancaran Laporan Impak Sosioekonomi Malaysia 2025 oleh TikTok, di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan turut mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan (MOF), Petronas, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Luar bagi mendapatkan gambaran perkembangan global terkini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata konflik geopolitik berpotensi memberi kesan kepada kos logistik dan pengangkutan termasuk premium insurans perkapalan, khususnya melibatkan laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz.
“Kesan terhadap harga makanan khususnya barangan import hanya dapat dilihat kemudian, tetapi kementerian berkaitan sedang memantau rapat kestabilan bekalan,” katanya.
Keadaan di Asia Barat semakin meruncing sejak Sabtu 28 Februari apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudian dibalas Tehran menerusi serangan terhadap kepentingan AS di negara- negara Teluk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial