PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Lebih 400,000 anggota peladang di seluruh negara bakal menerima pembahagian keuntungan kira-kira RM25.8 juta, yang akan diagih menerusi 212 pertubuhan peladang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata agihan itu dibenarkan melalui pengeluaran Perintah Khas bagi membolehkan pembahagian keuntungan bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024 dilaksanakan sebelum Aidilfitri.
"Langkah ini diambil bagi memastikan kebajikan anggota peladang tidak terjejas walaupun Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) tidak dapat diadakan dalam tempoh ditetapkan.
“Oleh kerana Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) masih digantung, semua pertubuhan peladang tidak dapat mengadakan MAT dalam tempoh yang ditetapkan dan ini menyebabkan pembahagian keuntungan kepada anggota tidak dapat dilaksanakan mengikut tatacara biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama warga kementerian bersempena dengan Ramadan 2026 di sini hari ini.
Mohamad berkata langkah itu juga bagi memastikan anggota peladang menerima manfaat keuntungan yang diperoleh pertubuhan masing-masing tanpa perlu menunggu proses biasa selesai.
Untuk rekod, NAFAS mencatat keuntungan RM221 juta bagi tahun kewangan 2024, iaitu yang tertinggi sejak penubuhannya pada 1972.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial