ISKANDAR PUTERI, 11 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menugaskan sebanyak 150 anggota bagi mengawal perairan, dengan kekuatan 20 bot ronda sepanjang musim perayaan Aidilfitri di Johor.
Komander PPM Wilayah Dua ACP Noor Azman Jamal berkata rondaan akan turut dilakukan dengan kerjasama Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) menerusi kerjasama dan persefahaman yang telah lama terjalin.
Beliau berkata PPM Wilayah Dua memfokuskan pemantauan di perairan Selat Johor Barat dari Tambak Johor sehingga ke perairan Tanjung Piai dekat Pontian.
“Selain itu, pemantauan juga dilakukan di perairan sebelah timur, dari Tambak Johor sehingga ke perairan Pengerang dekat Kota Tinggi,” katanya kepada Bernama ketika mengadakan pertemuan dengan Singapore Police Coast Guard (SPCG) di perairan Selat Johor Barat, di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Operasi/Risik) Bukit Aman ACP Zulkifli Mahmood dan Komander SPCG SAC Ang Eng Seng.
Noor Azman berkata pemantauan yang dilakukan memfokuskan kepada penguatkuasaan dan tangkapan pendatang tanpa izin serta mengekang penyeludupan barangan kawalan seperti bahan api.
Pada tahun lepas, kebanyakan rampasan yang dilakukan pihaknya adalah melibatkan bahan api seperti petrol serta diesel selain mercun, dan tangkapan pendatang tanpa izin.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bersama SPCG terus memperkukuh kerjasama dan berkongsi maklumat bagi menguatkuasakan undang-undang di perairan negara masing-masing.
“Kita telah lama jalin persefahaman dan penguatkuasaan, kerjasama ini turut dijalankan termasuk pada musim perayaan,” katanya.
Terdahulu, pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua serta SPCG turut berbuka puasa bersama dalam pertemuan yang berlangsung hampir dua jam di atas bot ronda PA 14 milik PPM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial