WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARGA MSM DIJANGKA PADA PURATA RM4,100-RM4,200 SATU TAN PADA 2026

11/03/2026 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan pada purata RM4,100 hingga RM4,200 satu tan pada 2026, disokong oleh harga minyak mentah yang tinggi yang dapat meningkatkan daya saing ekonomi biodiesel dan menyokong potensi pelaksanaan mandat B50 Indonesia.

Menurut MBSB Research dalam nota penyelidikan hari ini, harga MSM dijangka meningkat pada Mac, berada pada purata RM4,212 satu tan atau naik 3.3 peratus bulan ke bulan, disokong oleh pengeluaran yang berkurangan semasa tempoh pendebungaan.

Katanya pengeluaran yang rendah dipengaruhi oleh sentimen didorong oleh harga minyak mentah Brent susulan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang boleh menyokong potensi mandat biodiesel B50 di Indonesia.

Menurut firma penyelidikan itu, ia mengekalkan sasaran harga MSM 2026 pada RM4,200 satu tan dan harga daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia masih belum melepasi paras halangan RM4,500 satu tan.

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu terus mengekalkan saranan positif terhadap sektor minyak sawit, disokong oleh jurang harga antara minyak sawit dan minyak gas yang kecil.

“Pengukuhan harga minyak mentah Brent berpotensi meningkatkan harga minyak gas, menambah baik daya saing ekonomi biodiesel dan memudahkan pelaksanaan potensi mandat B50 oleh Indonesia.

“Penggunaan domestik yang tinggi boleh mengurangkan bekalan minyak sawit di pasaran dan menyokong harga MSM,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) memaklumkan konflik Asia Barat telah melonjakkan harga minyak mentah melebihi US$100 setong (bbl) untuk seketika pada awal minggu ini.

“Harga minyak mentah sebelum ini mempunyai korelasi harga positif yang rendah dengan MSM apabila jurang harga antara kedua-duanya adalah besar.

“Bagaimanapun, apabila jurang harga antara minyak mentah dan MSM mengecil, ini dijangka mencatatkan korelasi harga antara keduanya lebih kukuh berikutan harga minyak mentah yang tinggi akan menjadikan pelaksanaan mandat biobahan api lebih menjimatkan kos,” katanya.

Bank pelaburan itu mengunjurkan purata harga jualan MSM pada RM4,100 satu tan, dengan potensi kenaikan jika harga minyak mentah meningkat lebih US$100 bbl dan menjadikan mandat biodiesel B50 Indonesia sebagai realiti.

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor MSM, dengan pilihan utama termasuk SD Guthrie Bhd dengan harga sasaran (TP) RM6.59 dan Sarawak Oil Palms Bhd (TP: RM5.47).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan