WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN TEKANKAN KEPATUHAN ICP DALAM PEROLEHAN ASET PERTAHANAN - ADLY

11/03/2026 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan menekankan kepatuhan kepada klausa Program Kolaborasi Industri (ICP) dalam setiap kontrak perolehan aset pertahanan bagi memastikan pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada empat fasa pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk membangunkan industri pertahanan tempatan selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan 2020-2030.

“Fasa pertama DIPN menumpukan kepada audit keseluruhan industri pertahanan tempatan, termasuk penilaian syarikat berteknologi tinggi dan keupayaan mereka. Fasa berikutnya akan menekankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), kerjasama dengan universiti dan industri, serta peningkatan kapasiti pembuatan tempatan sebelum meneroka peluang komersial pada peringkat global,” katanya.

Adly berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari mengenai status terkini pelaksanaan DIPN termasuk hala tuju strategik, keutamaan sektor serta sasaran jangka pendek dan jangka panjang dalam membangunkan industri pertahanan tempatan yang berdaya saing di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata pembelian aset pertahanan luar negara, seperti pesawat FA-50 dari Korea Selatan, turut membabitkan pembangunan simulator oleh syarikat tempatan sebagai sebahagian daripada pemindahan teknologi dan latihan kepakaran.

Dalam konteks perubahan landskap peperangan global, Adly berkata keutamaan DIPN kini turut merangkumi pembangunan teknologi moden seperti dron, loitering munitions dan sistem antidron bagi memastikan keupayaan pertahanan negara relevan dan berdaya tahan.

Berhubung kapasiti pengeluaran peluru tempatan, Adly berkata terdapat enam syarikat pengeluar peluru di Malaysia yang kini sedang melalui proses audit bagi menilai tahap kemampuan sebenar mereka.

Audit ini merangkumi penilaian kapasiti pengeluaran peluru dalam kaliber biasa seperti 5.56 mm, 7.62 mm dan sembilan mm, tahap automasi dan teknologi pembuatan yang digunakan, selain keupayaan memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia  dan agensi keselamatan lain semasa situasi kecemasan atau gangguan rantaian bekalan global.

“Buat masa ini, keperluan peluru tempatan mencukupi. Namun, audit ini penting untuk menentukan sejauh mana syarikat tempatan mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh pengeluaran persenjataan ringan dan memastikan industri pertahanan tempatan lebih berdikari.

“Ia juga membantu mengenal pasti keperluan kerjasama teknologi untuk mempercepat pembangunan bakat tempatan dan kapasiti pembuatan bernilai tinggi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan