LAHAD DATU, 11 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan mengubah suai tangki lori dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini pada Isnin, susulan penahanan seorang lelaki.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata dalam operasi 10.30 malam itu, pihaknya mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi diesel ke dalam tangki asal sebuah lori tangki.
“Pemeriksaan mendapati lori berkenaan diisi dengan kira-kira 9,000 liter minyak diesel, yang melebihi had dibenarkan oleh pihak berkuasa. Pemeriksaan juga mendapati tangki asal lori itu telah diubah suai dengan pemasangan pam serta menggunakan satu gulung hos.
“Peralatan itu dipercayai bagi memindahkan diesel dari tangki asal ke dalam muatan tangki minyak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Amri berkata nilai rampasan termasuk lori dianggar berjumlah RM519,500 dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu katanya, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi terus membantu menangani kegiatan penyelewengan barangan subsidi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial