WILAYAH - SELATAN > BERITA

ZDATA AKAN LANCAR PUSAT DATA GREENRE PLATINUM PERTAMA MALAYSIA DI JOHOR DENGAN PELABURAN RM8 BILION

11/03/2026 06:37 PM

JOHOR BAHRU, 11 Mac (Bernama) -- Syarikat infrastruktur digital dan pusat data China, ZDATA Group Co Ltd sedang membangunkan pusat data berskala besar pertama di Malaysia yang diperakui GreenRE Platinum di Johor dengan pelaburan sekitar RM8 bilion.

Penarafan platinum merupakan penarafan kelestarian tertinggi di bawah skim GreenRE yang ditubuhkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA).

Pengarah anak syarikat milik penuh ZDATA, Computility Technology Sdn Bhd (CTDC) Yeo Yong Hwang berkata projek di Gelang Patah itu akan dibangunkan secara berperingkat dengan kemudahan pertama dijangka memulakan operasi pada akhir Mac 2026.

“Kemudahan ini kini merupakan satu-satunya pusat data di negara ini yang memperoleh pengiktirafan berkenaan.

"Ia juga memperoleh Sijil Pusat Data Hijau Malaysia bagi Air Kitar Semula pada Ogos 2025, mengiktiraf penggunaan air terawat dalam infrastruktur digital berskala besar,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Yeo menerangkan satu daripada ciri kelestarian kemudahan ZDATA adalah reka bentuknya menggunakan 100 peratus air terawat serta diproses di dua loji rawatan air yang terletak berhampiran dengan pusat data tersebut.

"Walaupun operasi penyejukan memerlukan air, penggunaan sumber air terawat memastikan bekalan air minuman domestik negeri tidak digunakan sekali gus mengurangkan tekanan ke atas sumber air tawar tempatan," katanya.

Jelasnya, selain daripada kelestarian air, pusat data ZDATA direka untuk memenuhi piawaian kecekapan tenaga yang tinggi dan akan dikuasakan sebahagian besarnya oleh tenaga boleh baharu (TBB).

Semalam, CTDC menandatangani perjanjian terma strategik dengan BGMC Energy Holdings Sdn Bhd dan reNIKOLA Holdings Sdn Bhd untuk membangunkan program bekalan TBB berskala besar dan jangka panjang apabila aset ladang solar akan menghasilkan TBB untuk pusat data tersebut.

Menurut Yeo, komponen solar yang dikaitkan dengan projek ini dijangka mula beroperasi pada 2028.

"Sebanyak dua lokasi yang bersama-sama dapat menghasilkan kira-kira 630,000 megawatt jam elektrik setiap tahun," katanya.

Beliau menambah syarikat menjangka untuk mengambil pekerja antara 400 hingga 500 orang setelah pusat data itu siap dengan sekurang-kurangnya 200 jawatan akan diisi oleh bakat tempatan.

"Pada 1 Mac, kami mengadakan satu hari kerjaya bersama Majlis Pembangunan Bakat Johor. Sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan dengan kira-kira 60 permohonan diterima dan 17 calon disenarai pendek," katanya.

Malaysia menjadi destinasi pelaburan pertama ZDATA di luar China dengan Yeo menyebut kestabilan politik dan kedudukan Johor yang berdekatan dengan Singapura sebagai pertimbangan utama.

Apabila ditanya mengenai pengembangan selanjutnya di Malaysia, Yeo berkata syarikat kini sedang menilai peluang di negeri-negeri lain.

"Setakat ini, tiada yang diwujudkan lagi, tetapi kami sedang melihat lokasi-lokasi yang berpotensi," tambahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad yang hadir pada majlis berkenaan berkata Johor menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menilai dan memudahkan pelaburan pusat data di negeri ini.

Katanya, pasukan petugas tersebut yang dipengerusikan oleh  Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyemak cadangan bagi memastikan projek-projek memenuhi keperluan termasuk penggunaan air dan elektrik yang cekap.

"Setiap cadangan disaring dan diluluskan berdasarkan kriteria seperti pengurangan penggunaan air dan elektrik dan mereka mesti memenuhi piawaian Tier 3 atau Tier 4," tambahnya.

Tier 3 dan Tier 4 merupakan piawaian pusat data antarabangsa yang ditetapkan oleh Uptime Institute yang menunjukkan tahap kebolehpercayaan dan kelewahan yang tinggi dalam sistem kuasa dan penyejukan bagi meminimumkan masa henti.

Pandak berkata Johor mahu meletakkan kedudukannya sebagai hab serantau bagi pelaburan pusat data terutamanya dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Beliau juga menangani kebimbangan orang ramai mengenai penggunaan sumber yang tinggi dengan menyatakan bahawa kemudahan yang lebih baharu sedang menerima pakai teknologi untuk mengurangkan penggunaan air dan elektrik.

"Orang sering menganggap pusat data menggunakan sejumlah besar air dan elektrik, tetapi kini banyak yang menggunakan air kitar semula dan TBB seperti tenaga solar," katanya sambil menambah bahawa ini membantu mengurangkan impak kepada komuniti tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan