WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN PAHANG SERU USAHAWAN PKS REBUT PELUANG DAPATKAN SIJIL HALAL

12/03/2026 10:59 AM

KUANTAN, 12 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya merebut peluang mendapatkan pensijilan halal bagi memperkukuh keyakinan pengguna serta memperluas pasaran perniagaan.

Baginda bertitah pensijilan halal bukanlah satu beban, sebaliknya langkah itu ialah pelaburan jangka panjang yang menjamin kualiti, integriti serta membuka peluang pasaran lebih luas pada peringkat nasional dan antarabangsa. 

“Inisiatif mempercepat proses kelulusan pensijilan halal yang kini dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira 30 hari berbanding 90 hari sebelum ini merupakan langkah positif dalam memudahkan permohonan serta memperkasakan industri halal di negeri ini,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, semalam. 

Menurut hantaran itu, baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Kampung Simpang Tebing Tinggi sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kampung Simpang Tebing Tinggi, Jerantut.

Sultan Pahang bertitah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sentiasa bersedia memberikan bimbingan kepada para peniaga yang ingin mendapatkan pensijilan halal.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah umat Islam perlu sentiasa memelihara batas halal dan haram dalam setiap urusan kehidupan bagi memastikan keberkatan serta kesejahteraan masyarakat.

Baginda menegaskan bahawa konsep halal bukan sekadar melibatkan makanan, malah telah menjadi satu ekosistem kehidupan yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perniagaan, kewangan, perubatan, logistik serta gaya hidup manusia secara keseluruhannya.

“Halal bukan hanya soal logo atau cap pada sesuatu produk. Halal itu ialah soal amanah, integriti dan keberkatan hidup,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Pahang turut menyeru peniaga, pengilang, pengusaha restoran serta semua pihak dalam rantaian industri halal supaya memelihara amanah berkenaan dengan penuh tanggungjawab serta tidak mempermainkan sensitiviti umat Islam.

Baginda berharap pihak berkuasa berkaitan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap sebarang pelanggaran dalam sistem pensijilan halal serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memanipulasi sistem demi kepentingan diri.

Dalam hantaran lain, Al-Sultan Abdullah turut menasihati wanita di negeri ini agar tidak terburu-buru membuat keputusan untuk berkahwin, khususnya melibatkan pasangan warganegara asing.

Baginda bertitah sejak kebelakangan ini, terdapat kecenderungan peningkatan perkahwinan antara wanita tempatan dengan warganegara asing.

Menurut baginda, perkara itu bukanlah suatu kesalahan selagi dilaksanakan mengikut lunas syarak serta mematuhi undang-undang, selain Islam tidak menutup pintu perkahwinan merentasi bangsa dan sempadan selagi ia dibina atas asas iman, kejujuran dan tanggungjawab.

Sultan Pahang turut mengingatkan bahawa kesilapan dalam memilih pasangan boleh membawa kesan berpanjangan dalam kehidupan rumah tangga dan para wanita perlu membuat penelitian terhadap asal-usul, latar belakang, pekerjaan serta kemampuan sebenar bakal pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Al-Sultan Abdullah bertitah keluarga harus menjadi benteng nasihat dan bimbingan kepada anak-anak kerana keputusan besar seperti perkahwinan memerlukan pertimbangan yang matang.

“Sesungguhnya perkahwinan sepatutnya menjadi pintu kebahagiaan dan bukan jalan kepada kesusahan. Pilihlah pasangan hidup dengan akal yang waras dan iman yang teguh agar rumah tangga yang dibina membawa ketenangan dan keberkatan,” titah baginda.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan