WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KBS TEKAD BERDIRI TEGUH DI BELAKANG 'THE POCKET ROCKETMAN'

12/03/2026 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) – Kementerian Belia dan Sukan KBS) akan terus memberi sokongan kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang biarpun atlet tersebut bergerak secara profesional ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata bentuk sokongan dan bantuan dihulurkan kepada pelumba yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu termasuk dari sudut kesihatan dan latihan.

“Kita akan sentiasa berhubung dengan pihak beliau untuk memastikan segala bantuan dan bentuk fasiliti kita dapat memastikan beliau terus maju dan membanggakan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Dana Esukan KBS (DEK) 2026 dan Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP) 2026 di Puchong, hari ini.

Beliau juga kagum dengan kayuhan bertenaga diperagakan pemenang pingat Sukan Olimpik dua kali itu sewaktu menjuarai acara keirin pada Piala Dunia Berbasikal Trek Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2026 di Perth, Australia, baru-baru ini.

Selain mengungguli acara keirin, Mohd Azizulhasni turut menambah satu lagi koleksi pingat dari Perth dengan menyambar gangsa acara pecut lelaki.

Pelumba berusia 38 tahun dari Terengganu itu memutuskan untuk meninggalkan skuad berbasikal trek kebangsaan dan meneruskan kariernya dengan bergerak secara profesional pada April tahun lepas.

Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq berkata KBS memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta bagi DEK 2026 dan RM500,000 untuk program MEAP 2026.

Katanya, DEK 2026 bertujuan menyokong pelbagai projek dalam kategori kejohanan e-sukan dan pembangunan kandungan digital manakala MEAP 2026 pula bagi menyokong serta mempersiapkan pasukan dan pemain tempatan terpilih bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata kedua-dua inisiatif tersebut sememangnya saling melengkapi dalam usaha strategi kerajaan membangunkan industri e-sukan negara secara menyeluruh sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir berkata pihaknya komited menterjemahkan aspirasi DEK dan MEAP kepada pelaksanaan tersusun menerusi kerjasama strategik bersama pemain industri, penerbit permainan dan pihak swasta.

ESI adalah inisiatif di bawah KBS yang bertujuan membangunkan ekosistem e-sukan yang mampan, inklusif dan berdaya saing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan