BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUU PERUBAHAN IKLIM NEGARA PERKENAL SISTEM PEMANTAUAN, LAPORAN JADI ASAS PENETAPAN HARGA

13/03/2026 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) akan memperkenalkan sistem pemantauan, pelaporan dan verifikasi (MRV) sebagai asas utama pelaksanaan mekanisme harga karbon dan peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata sistem MRV itu mempunyai metodologi pengiraan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang seragam merentas sektor ekonomi bagi memastikan ketelusan serta keabsahan data serta pembentukan registri karbon kebangsaan yang berintegriti.

“MRV merupakan asas penting bagi pelaksanaan instrumen harga karbon kerana ia memastikan penetapan harga dibuat berasaskan data pelepasan sebenar,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab pertanyaan daripada Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin mengetahui sama ada RUU PIN akan membolehkan harga karbon dan peralihan ke ekonomi rendah karbon merentasi sektor-sektor ekonomi lain.

NRES berkata berdasarkan asas MRV tersebut, kerajaan akan melaksanakan cukai karbon bermula tahun 2026 dengan tumpuan awal kepada sektor tenaga, besi dan keluli.

“Pelaksanaan cukai karbon ini akan diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) serta peruntukan di bawah RUU PIN bagi memastikan keseragaman dasar dan kecekapan pelaksanaan.

“Pengenalan cukai karbon pada peringkat ini akan memberikan isyarat yang jelas kepada sektor berintensiti karbon tinggi untuk meningkatkan kecekapan dan beralih kepada teknologi rendah karbon,” tambah kementerian itu.

Selain itu, NRES berkata RUU PIN turut menyediakan asas perundangan bagi pelaksanaan Skim Perdagangan Pelepasan (ETS) pada fasa seterusnya, apabila sistem MRV dan ekosistem pasaran karbon domestik telah matang.

Katanya, ETS akan membolehkan had pelepasan ditetapkan bagi sektor tertentu dan memberi fleksibiliti pematuhan melalui perdagangan elaun pelepasan secara kos efektif.

“Selain itu, RUU PIN juga akan mengawal selia pasaran karbon pematuhan termasuk penggunaan kredit karbon bagi memenuhi obligasi pengurangan pelepasan.

“Ini memberi pilihan tambahan kepada sektor yang sukar mengurangkan pelepasan secara langsung, tanpa menjejaskan sasaran pengurangan pelepasan GHG negara,” katanya.

Menurut NRES, penggubalan RUU PIN membolehkan pelaksanaan harga karbon dilaksanakan secara berfasa dan berstruktur, bermula dengan pembangunan sistem MRV sebelum instrumen lain seperti cukai karbon dan mekanisme pasaran karbon diperkenalkan.

Menyentuh soalan Low mengenai perkembangan terkini dan garis masa pembentangan RUU PIN, kementerian itu berkata RUU PIN sedang melalui proses semakan akhir oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memastikan RUU itu teratur daripada aspek perundangan dan selaras dengan ketetapan dasar yang telah dipersetujui oleh Kabinet pada 11 Jun 2025.

“Kementerian ini berhasrat untuk membentangkan RUU PIN dan RUU Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara (IKLIM) dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan