BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIADA PIHAK BOLEH KETEPIKAN KAMI DARIPADA PIALA DUNIA 2026 - PASUKAN IRAN

13/03/2026 09:33 PM

TEHRAN, 13 Mac (Bernama-Xinhua) -- Pasukan bola sepak kebangsaan Iran dalam kenyataan di media sosial menegaskan tiada pihak yang boleh mengecualikan pasukan itu daripada Piala Dunia FIFA 2026, susulan ketidakpastian mengenai penyertaan mereka dalam kejohanan itu, lapor Xinhua.

“Piala Dunia ialah acara bersejarah dan antarabangsa dan badan induknya ialah FIFA, bukan mana-mana negara individu," menurut pasukan itu dalam kenyataan pada Khamis.

"Pasukan kebangsaan Iran, dengan kekuatan dan siri kemenangan penting yang dicapai oleh para pemuda Iran yang berani, adalah antara pasukan terawal yang layak ke kejohanan besar ini."

“Sudah pasti, tiada siapa boleh mengenepikan pasukan kebangsaan Iran daripada Piala Dunia; satu-satunya negara yang boleh dikecualikan ialah negara yang sekadar membawa gelaran 'tuan rumah' tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk memastikan keselamatan pasukan yang menyertai acara global ini," menurut kenyataan itu.

Ketua jurulatih Iran Amir Ghalenoei menyiarkan semula kenyataan itu pada akaun peribadinya.

Kenyataan itu dibuat dalam ketegangan yang memuncak berikutan serangan tentera oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Isu itu kelihatan reda pada Selasa, apabila Presiden FIFA Gianni Infantino berkata di media sosial bahawa Presiden AS Donald Trump telah memberikan jaminan kepadanya semasa mesyuarat mereka, bahawa pasukan Iran akan dialu-alukan untuk bertanding.

Bagaimanapun, Menteri Sukan Iran Ahmad Donyamali berkata pada Rabu, Iran tidak akan mengambil bahagian dalam Piala Dunia 2026 berikutan serangan tentera baru-baru ini.

Iran telah diundi dalam Kumpulan G untuk Piala Dunia, yang akan dianjurkan secara bersama oleh AS, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Pasukan itu dijadualkan membuka kempen menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun, diikuti perlawanan menentang Belgium di tempat yang sama pada 21 Jun. Perlawanan terakhir kumpulannya ditetapkan pada 26 Jun menentang Mesir di Seattle.

Iran sebelum ini menarik diri daripada Sukan Paralimpik Musim Sejuk Milan-Cortina 2026 kerana bimbang keselamatan perjalanan, kata Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan