WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKR SABAH ANJUR MINI KONVENSYEN

15/03/2026 04:53 PM

KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah hari ini menganjurkan mini konvensyen dalam usaha parti itu memperkukuh jentera pada peringkat akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata mini konvensyen berkenaan juga bertujuan mengumpulkan pimpinan, selain menyuntik semangat dalam kalangan ahli  yang ketika ini dianggarkan kira-kira 150,000 orang.

“Selepas ini kita akan bergerak untuk mengadakan mesyuarat agung pada setiap cabang sebelum mengadakan kongres parti pada Jun nanti,” katanya selepas menghadiri program Mini Konvensyen Keadilan  dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang peringkat negeri, di sini hari ini.

Mini konvensyen itu dirasmikan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata pada masa sama, Anwar turut mengingatkan jentera parti supaya lebih mendalami isu kritikal berkaitan Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hasil negeri sebanyak 40 peratus bagi memudahkan penjelasan diberikan kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, mengenai sama ada akan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU16 beliau berkata: "Jika presiden (Anwar) membenarkan, insya-Allah saya masih berminat untuk bertanding di Sepanggar. Kita sedia berjuang dan akhirnya rakyat yang akan menentukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan