PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggalakkan majikan memberi kelonggaran kepada pekerja berhubung pelaksanaan cuti tambahan sempena Aidilfitri sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, KESUMA memaklumkan cuti tambahan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari kelepasan am.
“Sehubungan itu, cuti yang diisytiharkan ini merupakan hari kelepasan am yang terpakai kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada seksyen 60D Akta Kerja 1955 [Akta 265].
“Berdasarkan peruntukan tersebut, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am berkenaan dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja,” menurut kenyataan itu.
Menurut KESUMA majikan hendaklah memaklumkan kepada pekerja berhubung pengaturan cuti tambahan tersebut sama ada diberikan pada tarikh yang diisytiharkan atau digantikan dengan hari lain yang sesuai.
“Sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan am yang diisytiharkan, pekerja tersebut layak menerima kadar bayaran kerja pada hari kelepasan am sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955,” menurut kenyataan itu
Sehubungan itu, KESUMA menyeru agar majikan mempertimbangkan pemberian cuti itu kepada pekerja sebagai sebahagian daripada amalan pekerjaan yang prihatin dan menyokong keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.
“Langkah ini diharap dapat memberi ruang kepada pekerja untuk meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, kesejahteraan dan keharmonian bersama keluarga.
“KESUMA berpandangan bahawa sambutan perayaan seperti Aidilfitri merupakan masa yang amat bermakna bagi pekerja untuk bersama keluarga dan orang tersayang,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan majikan dan pekerja turut digalakkan untuk berbincang secara baik bagi memastikan pengurusan operasi syarikat dapat berjalan lancar, sambil memberi ruang kepada pekerja untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh makna bersama keluarga.
Terdahulu, Perdana Menteri hari ini bersetuju memberikan satu hari cuti tambahan bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan dedikasi rakyat yang bekerja keras sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berkata penetapan tarikh cuti tambahan itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal kelak, iaitu sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat atau 20 Mac, kerajaan akan menetapkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti tambahan, sebaliknya jika hari raya pada Sabtu (21 Mac) maka cuti tambahan pada Jumaat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial