KOTA BHARU, 16 Mac (Bernama) -- UMNO Kelantan membatalkan penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri tahun ini sebagai menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membudayakan amalan berjimat cermat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata langkah itu sebagai persediaan mendepani sebarang kemungkinan krisis kewangan akibat situasi ekonomi dunia.
“Selain rumah terbuka, majlis berbuka puasa dirancang penghujung Ramadan turut ditangguhkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis moreh Ramadan bersama-sama pengamal media Kelantan di sini malam tadi.
Pada 11 Mac, Anwar berkata semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memberi mesej jelas kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana dan berhemat dalam perbelanjaan.
Sementara itu, berhubung ekonomi negeri, Ahmad Jazlan berkata pertumbuhan ekonomi Kelantan masih pada tahap lemah jika tidak dibantu Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta.
Beliau berkata keadaan pembangunan di Kelantan turut dibandingkan dengan negeri lain seperti Johor yang lebih maju, Pahang yang merekodkan pendapatan melebihi RM1 bilion dan Melaka yang berdaya maju sebagai negeri pelancongan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial