WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI DI ISTANA ARAU PADA RAYA PERTAMA

19/03/2026 12:05 PM

KANGAR, 19 Mac (Bernama) -- Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri @ Istana Arau akan diadakan pada raya pertama di Dataran Majlis, Istana Arau selepas solat sunat Aidilfitri, yang bermula 9.30 pagi hingga 12 tengah hari. 

Menurut kenyataan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, para hadirin adalah digalakkan untuk berpakaian kebangsaan dan sopan sepanjang berada di pekarangan Istana Arau.

“Pemakaian seluar pendek dan pakaian yang tidak sopan adalah tidak dibenarkan,” menurut Pejabat Raja Perlis itu.

Pejabat itu memaklumkan, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat diiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat Istana Arau.

 “Solat berkenaan akan diadakan pada 8 pagi. Sehubungan dengan itu, para jemaah khususnya dari Kariah Kota Raja Arau dipelawa hadir bagi bersama-sama menunaikan solat,” menurut pejabat itu.

Para jemaah dinasihatkan membawa sejadah sendiri, hadir dalam keadaan berwuduk dari rumah atau mengambil wuduk di Masjid Negeri Arau terlebih dahulu, dan membawa uncang kasut untuk penyimpanan yang selamat bagi memastikan kelancaran serta keselesaan.

Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, solat sunat itu akan dipindahkan ke ruang solat Masjid Negeri Arau dan jalan raya di hadapan Istana Arau akan ditutup sementara.

“Kenderaan boleh diletakkan di sekitar Masjid Negeri Arau atau Dewan Sivik dengan kawal selia polis trafik,” menurut pejabat itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan