WILAYAH - SARAWAK > BERITA

86 PERATUS TIKET ETS AIDILFITRI TERJUAL SETAKAT PAGI INI - KTMB

19/03/2026 12:19 PM

JOHOR BAHRU, 19 Mac (Bernama) -- Sebanyak 217,000 tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) bersempena dengan sambutan Aidilfitri telah terjual setakat 9 pagi ini daripada keseluruhan 257,000 tiket yang ditawarkan.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Afzar Zakariya berkata jumlah itu bersamaan kira-kira 86 peratus daripada keseluruhan tiket, dengan baki sekitar 35,000 masih tersedia dan kebanyakannya bagi perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Tiket yang paling mendapat sambutan dan cepat habis ialah bagi laluan keluar dari ibu negara khususnya dari Kuala Lumpur ke Ipoh serta Padang Besar... bahagian utara memang sudah habis, dan bagi arah selatan masih berbaki sedikit.

“Boleh dikatakan tiket bagi perjalanan pulang ke kampung hampir habis manakala tiket bagi perjalanan masuk ke Kuala Lumpur masih berbaki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi tren bersempena dengan musim perayaan di JB Sentral hari ini.

Mengulas lanjut, Afzar berkata bagi menampung peningkatan permintaan bersempena dengan musim perayaan, jumlah perkhidmatan ETS turut ditambah daripada kebiasaan 46 perjalanan sehari kepada sehingga 70.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 62 perjalanan sehari telah dibuka untuk jualan manakala baki lapan lagi akan dibuka sekiranya terdapat permintaan tambahan atau tiket sedia ada habis terjual.

“Jika kesemua 70 perjalanan sehari dibuka, kapasiti keseluruhan tiket boleh meningkat sehingga 285,000 tiket,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Azfar menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta membeli tiket pergi dan balik bagi mengelakkan kehabisan tiket terutama bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri susulan permintaan dijangka meningkat apabila orang ramai kembali ke ibu negara untuk bekerja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan