WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SERANGAN TERHADAP KEMUDAHAN LNG QATAR, RISIKO GANGGUAN BEKALAN DI ASIA

20/03/2026 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Negara-negara di Asia-Pasifik kini menghadapi peningkatan risiko kekurangan fizikal, bukan sahaja tenaga, susulan serangan terbaharu Iran terhadap kemudahan LNG Ras Laffan Qatar termasuk minyak dan gas serta baja dan berpotensi melibatkan kemudahan pengeluaran makanan pada akhir tahun ini.

BMI dalam satu laporan berkata impaknya jauh lebih besar daripada semakan pertumbuhan dan inflasi kecil yang ia lakukan baru-baru ini untuk mengambil kira harga minyak yang lebih tinggi.

Harus diambil perhatian bahawa Ras Laffan ialah terminal eksport gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia, bertanggungjawab untuk sekitar 20 peratus bekalan global.

QatarEnergy telah mengisytiharkan force majeure susulan serangan dron awal pada 2 Mac, kata BMI, sebuah unit Fitch Solutions.

Pada 2025, Qatar mengeksport 81 juta tan LNG, sekitar 90 peratus daripadanya pergi ke pasaran Asia.

Gangguan setakat ini telah menghapuskan kira-kira 5.8 juta tan bekalan LNG pada bulan Mac sahaja, menurut Kpler, sebuah syarikat data dan analitik global yang pakar dalam menjejaki dan menganalisis pasaran komoditi dan aliran perdagangan, terutamanya tenaga seperti minyak dan LNG.

Kpler juga menilai bahawa bekalan tambahan yang realistik daripada semua sumber alternatif berjumlah kurang daripada dua juta tan, menyebabkan kekurangan sekitar 3.8 juta tan.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, bekalan global akan ditambah dengan kapasiti tambahan yang datang dari Amerika Syarikat (AS) untuk mengimbangi kerugian dari Qatar, sekali gus membawa kepada tempoh lebihan bekalan LNG struktur tanpa mengira kerugian jangka pendek di Qatar, kata BMI dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata pendedahan dalam APAC sangat berbeza dengan Singapura, Thailand, Taiwan, China, Jepun dan Korea Selatan sangat bergantung pada gas untuk menjana elektrik kecuali Jepun, mereka juga memperoleh sebahagian besar import LNG mereka dari Qatar.

“Bahawa loji gas di negara-negara tersebut juga boleh menjana menggunakan diesel mengurangkan risiko, begitu juga dengan rizab bahan api strategik disimpan oleh mereka. Sementara itu, pengeksport seperti Australia, Indonesia, Malaysia dan Brunei kurang terdedah.”

Negara-negara kurang maju seperti Pakistan dan Bangladesh akan menghadapi impak yang paling teruk.

“Mereka sudah pun menyerap kejutan menerusi kemusnahan dari segi permintaan dan bukannya penggantian pasaran. Bagi Bangladesh yang telah menutup empat daripada lima kilang bajanya sebagai akibat hiliran langsung, kesannya baru sahaja bermula.”

Bagi minyak, lebih suku perdagangan minyak menggunakan laluan laut global melalui Selat Hormuz dan ekonomi APAC berada di hujung rantaian bekalan tersebut.

“China dan India menyerap sebahagian besar minyak mentah Iraq dalam gred berat yang diproses oleh kilang penapisan, dibina khas untuk bahan mentah tersebut, penggantian bukan sekadar soal mendapatkan sumber di tempat lain.”

”Dan walaupun kekurangan bekalan tidak terhasil daripada penutupan Selat Hormuz yang berpanjangan, ekonomi dengan kedudukan rizab pertukaran mata wang (forex) yang tidak menentu seperti Vietnam, Pakistan dan Sri Lanka, berisiko terpaksa mengurangkan import bahan api jika harga kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.”

Selain itu, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) juga merupakan pembekal utama baja nitrogen, sebab gas merupakan input utama untuk pembuatan baja nitrogen.

Qatar Fertiliser Company sahaja membekalkan 14 peratus urea global, dan sebanyak satu pertiga daripada perdagangan baja nitrogen global boleh terjejas oleh gangguan berterusan kepada bekalan gas.

“Pendedahan APAC adalah serius. Negara-negara di Asia menerima 35 peratus daripada eksport urea GCC, 53 peratus daripada eksport sulfur, dan 64 peratus daripada eksport ammonia. India telah mengurangkan pengeluaran di tiga loji urea domestik apabila stok bahan mentah LNG Qatar kering; Bangladesh seperti dinyatakan telah menutup empat daripada lima kilang baja,” katanya.

Harga urea telah meningkat kira-kira 25 peratus sejak perang bermula, seterusnya akan meningkat lagi jika konflik berterusan.

“Masanya (kejadian berlaku) tidak sesuai,” kata BMI, tidak bermakna gangguan itu hampir dengan musim menyemai di seluruh rantau ini. China, India, Thailand, Filipina, Vietnam, Pakistan dan Sri Lanka menanam padi dan jagung terutamanya pada bulan April dan Mei.

Gangguan itu bertepatan dengan tempoh penanaman dan penggunaan baja utama di seluruh rantau ini yang berpotensi menjejaskan hasil jika kekurangan berterusan sepanjang musim tanaman.

Namun, pengimport utama seperti India dan China mengekalkan stok baja nitrogen strategik dan mengutamakan keselamatan makanan, ia dijangka mengurangkan keadaan menjadi lebih teruk, BMI berpandangan bahawa kedua-dua negara mempunyai stok untuk mencegah kejutan yang datang mendadak dalam penurunan kadar penggunaan untuk hasil tuaian akan datang.

Bagaimanapun, musim menyemai pada bulan Oktober di India akan menjadi tumpuan.

Harga baja nitrogen yang lebih tinggi akan menyumbang kepada harga makanan lebih tinggi pada akhir tahun ini, dijangka akan berlaku, walaupun respons adaptif daripada kerajaan dan petani akan menyederhanakan impaknya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan