JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di kawasan Southkey di sini pada 14 Mac lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata mangsa warga asing berusia 32 tahun itu diserang dengan senjata tajam dalam kejadian kira-kira 5 pagi dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail akibat tikaman di leher.
Beliau berkata beberapa suspek yang dipercayai terlibat dikesan cuba melarikan diri termasuk ke Singapura selepas melakukan perbuatan jenayah itu.
“Seorang daripada suspek berjaya ditahan pasukan Bahagian D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke Singapura pada 12.15 tengah malam, 18 Mac.
"Pada 19 Mac kira-kira 6 petang pula, empat lagi suspek berjaya ditahan dengan bantuan pihak polis Singapura," katanya dalam kenyataan.
Ab Rahaman berkata ujian urin mendapati kesemua suspek negatif dadah serta tiada rekod jenayah lampau.
Beliau berkata suspek pertama direman tujuh hari bermula 18 Mac, sementara empat lagi turut direman dalam tempoh sama mulai 20 Mac.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial