WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEMANGAT JUANG TINGGI JADI IDENTITI EE WEI

20/03/2026 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pemain beregu campuran sensasi negara Toh Ee Wei berkata semangat juang tinggi menjadi senjata utamanya untuk terus bersaing secara kompetitif dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia.

Walaupun mengakui jurang pengalaman yang ketara, pemain berusia 24 tahun itu percaya faktor tersebut menjadi kelebihan yang membezakan kualiti permainannya apabila menghadapi lawan lebih berpengalaman.

“Saya bukan pemain yang sangat berpengalaman berbanding mereka tetapi saya sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Semangat juang di gelanggang kekuatan utama saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

Dalam masa sama, beliau tidak mahu terburu-buru mengejar kejayaan di pentas antarabangsa, sebaliknya mahu memberi fokus kepada konsistensi bersama pasangan Chen Tang Jie.

Mengulas penyingkiran awal pada kejohanan All England dua minggu lepas, Ee Wei berkata kekalahan itu menjadi peringatan agar tidak memandang rendah cabaran apa juga kejohanan, walaupun telah bergelar juara dunia.

Ee Wei berkata mereka menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana telah memberikan sepenuh usaha sepanjang perlawanan.

“Kita tidak boleh beri alasan tentang pengalaman. Saya perlu belajar daripada setiap perlawanan dan kejohanan. Walaupun kalah, kami tetap menunjukkan semangat pantang menyerah seperti di All England.

“Persaingan beregu campuran kini sangat terbuka. Kita dapat lihat juara juga datang dari Taiwan dan ramai pemain utama tewas. Kami perlu terus bekerja keras,” katanya yang kini menduduki ranking keempat dunia bersama Tang Jie.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan