KOTA KINABALU, 20 Mac (Bernama) -- Kelab Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkasa peranannya sebagai barisan hadapan bagi memastikan warga kampus bebas ancaman najis dadah.
Langkah proaktif itu dilihat sebagai respons kritikal mahasiswa susulan kejayaan pihak berkuasa menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar dalam sejarah Sabah baru-baru ini, melibatkan rampasan lebih tiga tan pelbagai jenis bahan terlarang bernilai lebih RM240 juta.
Presidennya Muhammad Eddry Sahirun berkata impak rampasan berskala besar itu membuktikan bahawa ancaman dadah di Sabah berada pada tahap yang amat serius dan memerlukan penglibatan aktif mahasiswa sebagai ejen pencegahan di peringkat akar umbi.
Justeru, beliau berkata menerusi kelab tersebut pelbagai program kesedaran telah dilaksanakan bagi mewujudkan budaya kampus sifar dadah, termasuk kempen, advokasi, serta galakan kepada pelajar untuk menjadi ‘mata dan telinga’ universiti dalam melaporkan aktiviti mencurigakan.
“Tahun ini beberapa program utama disusun atur termasuk Viber Run dan Pemadam Forge. Selain itu, program Reset Click Cmart bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk komuniti kampung sekitar Kota Kinabalu, selain inisiatif 'Generasi Tanpa Dadah' melibatkan pelajar sekolah,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Eddry, yang juga pelajar tahun tiga Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial berkata sambutan dalam kalangan mahasiswa terhadap kerja sukarelawan adalah positif, namun cabaran utama adalah untuk menarik penyertaan aktif secara konsisten.
Beliau mengenal pasti beberapa kekangan dalam menangani isu tersebut antaranya stigma dan ketakutan untuk dihukum sekiranya didapati terlibat, selain persepsi salah bahawa dadah hanya melibatkan golongan tertentu serta kurangnya kesedaran terhadap ancaman dadah moden yang lebih tersembunyi.
“Trend semasa yang membimbangkan kini termasuk penyalahgunaan dadah sintetik, penggunaan vape yang dicampur bahan terlarang, penyalahgunaan pil study drugs untuk tujuan akademik, serta pembelian bahan tersebut secara dalam talian.
“Pendekatan pendidikan perlu lebih moden dan digital mengikut kesesuaian Generasi Z. Penggunaan media sosial seperti TikTok, program santai melalui sukan dan seni, serta bahasa komunikasi yang lebih dekat dengan jiwa belia adalah kunci utama,” katanya yang mengetuai 43 ahli Pemadam bagi sesi 2025/2026.
Beliau berkata penglibatan pempengaruh kampus juga perlu dipergiat bagi menarik mahasiswa menyertai aktiviti sihat, selain sokongan padu daripada Unit Kaunseling universiti dan rakan sebaya melalui pendekatan yang bersifat memulih, bukannya menghukum.
Muhammad Eddry memberi jaminan bahawa sekiranya terdapat mahasiswa yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu, Kelab Pemadam akan memastikan kerahsiaan identiti terpelihara mengikut prosedur profesional bagi memberi ruang kepada proses pemulihan dan kesejahteraan.
“Harapan saya agar ahli kelab ini terus menjadi agen penyebar maklumat bahaya dadah dan menjadi teladan kepada mahasiswa lain supaya lebih berani menolak dadah serta menyokong rakan yang memerlukan bantuan demi menjadikan UMS kampus bebas dadah,” katanya.
Pada 13 Feb lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah berkata polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai terbesar dalam sejarah Sabah.
Mohd Khalid berkata lebih tiga tan bahan terlarang bernilai lebih RM240 juta dirampas menerusi Ops Coleoptera pada 20 dan 21 Jan dan Op Bayu 2 pada 5 Feb di kawasan sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sepanggar, selain turut membabitkan operasi di Selangor.
Ia sekali gus menjadikan Sabah dilihat sebagai sasaran negeri transit bagi pengedaran sindiket dadah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial