SEREMBAN, 23 Mac (Bernama) -- Kebakaran sebuah kedai buku milik keluarga yang beroperasi selama 68 tahun di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad, di sini bukan sahaja mengakibatkan kerugian besar, tetapi juga kehilangan nilai sentimental.
Pemilik generasi ketiga, Kader Mohideen Basheer Ahmed, 48, berkata kejadian di premis dua tingkat kira-kira 9 malam tadi turut “membakar” kenangan dibina sejak beberapa dekad lepas.
Pengarah SBC Books & Stationery Sdn Bhd itu berkata kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan premis dan barangan jualan, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM4 juta termasuk stok buku.
“Kedai ini bukan sekadar tempat berniaga, tetapi juga tempat kami lima beradik membesar. Dulu, kami tinggal di tingkat atas rumah kedai ini manakala kedai buku beroperasi di bahagian bawah.
“Apabila saya membuka media sosial, ramai menyifatkan kedai ini sebagai kedai buku ‘legend’. Saya menerima ratusan mesej sejak semalam daripada kenalan yang mengucapkan takziah serta ada rakan-rakan mahu menghulurkan bantuan, saya amat menghargainya,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kader Mohideen berkata premis terletak di tengah bandar Seremban itu diwarisi ibu bapanya daripada datuknya dan kini diusahakannya bersama adik-beradik lain.
Menceritakan detik cemas itu, Kader Mohideen berkata ketika kejadian beliau berada di rumah ibunya di Temiang, di sini bersama keluarga sempena Aidilfitri lalu bergegas ke lokasi apabila menerima panggilan mengenai kebakaran itu.
Beliau berkata setibanya di tempat kejadian, kepulan asap kelihatan di premis itu dan kemudian api mula merebak dengan cepat berikutan terdapat bahan mudah terbakar di dalam kedai buku berkenaan, khususnya kertas.
“Ketika kejadian, kedai ditutup dan kesemua tujuh pekerja masih bercuti. Saya juga belum pulang ke rumah dan tidak pasti bagaimana hendak menjelaskan keadaan sebenar kebakaran ini kepada ibu yang berusia lebih 80 tahun.
“Ibu mengetahui mengenai insiden ini, namun hanya dimaklumkan sebagai kebakaran kecil kerana saya tidak mahu merisaukannya. Saya dan adik-beradik reda dengan musibah ini dan akan memberi tumpuan untuk membina semula premis ini walaupun mengambil masa,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati struktur kedai terbabit mengalami kerosakan teruk dengan sebahagian besar bahagian dalamnya hangus.
Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan juga sedang menjalankan siasatan lanjut di premis berkenaan bagi mengenal pasti punca kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial