WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PETUGAS KESIHATAN DIKOMPAUN MEROKOK DI PREMIS MAKANAN

23/03/2026 09:34 PM

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu yang tular merokok di sebuah premis makanan di Rawang merupakan penjawat awam dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kompaun telah dikenakan terhadap individu berkenaan di bawah Seksyen 16(2) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kerana merokok di tempat makan.

Menurut kementerian itu, tindakan tatatertib dalaman turut akan diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang kakitangan KKM merokok di sebuah restoran di Rawang.

KKM menegaskan premis makanan merupakan antara 28 kawasan larangan merokok yang diwartakan bagi melindungi kesihatan awam.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga kerja yang melanggar undang-undang, dan akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, adil serta konsisten,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merakamkan penghargaan kepada individu yang tampil melaporkan kejadian berkenaan.

Beliau menegaskan tiada mana-mana pihak mengatasi undang-undang, termasuk warga KKM sendiri yang seharusnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

“Saya telah mengarahkan tindakan tegas diambil serta-merta. Individu terbabit telah dikenakan kompaun di bawah Akta 852 dan akan berdepan tindakan tatatertib,” katanya menerusi hantaran di akaun rasmi X miliknya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu melaporkan kejadian seumpama itu melalui saluran rasmi, termasuk akaun X @KKMPutrajaya, sekiranya berlaku di mana-mana premis larangan merokok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan